209 ditahan berkaitan dadah dalam Op Tapis


SERAMAI 209 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Tapis Khas di sekitar ibu negara, minggu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata semua individu berusia 19 hingga 68 tahun itu ditahan di sekitar kawasan perumahan awam, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sekatan jalan raya dalam operasi dari 27 hingga 29 Julai.

“Daripada jumlah itu, 12 individu diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan dadah, 24 individu atas kesalahan mengambil dadah berulang dan lapan lagi adalah orang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, sebanyak 1.5 liter cecair dan 1.6 kilogram dipercayai pelbagai jenis dadah bernilai RM370,000 dirampas manakala wang tunai berjumlah RM340 serta sebuah kereta jenis Honda Accord turut disita.

Beliau berkata pada Rabu, seorang kontraktor elektrik dipercayai tukang memproses dadah jenis ketamin turut ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Mastiara, Jalan Ipoh.

Katanya, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.45 pagi susulan maklumat diterima berhubung kegiatan di rumah berkenaan yang dijadikan makmal memproses dadah.

Menurutnya, lelaki itu menyewa rumah sejak dua bulan lalu bagi menjalankan kegiatan memproses dadah.

“Semakan awal mendapati lelaki itu dibebaskan dari penjara pada 2019 atas kesalahan berkaitan dadah dan ketika diperiksa, dia juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Azmi berkata, lelaki berkenaan direman hingga 2 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 1 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen