17 ditahan seleweng minyak diesel, arak, rokok di Johor


SERAMAI 17 individu ditahan dalam serbuan di Iskandar Puteri, Kulai, Batu Pahat dan Johor Bahru disyaki terbabit dalam penyelewengan diesel, arak dan rokok kontraban, sejak awal pagi 28 Julai sehingga tengah malam tadi.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata serbuan antara jam 2 pagi Khamis lalu hingga jam 12.15 tengah malam Isnin membabitkan barang kawalan bersubsidi iaitu diesel serta barangan kontraban seperti rokok dan arak dengan rampasan bernilai RM1.5 juta.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang perempuan tempatan, berusia antara 28 hingga 53 tahun,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil semakan dua individu didapati mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah serta warga asing yang turut ditahan menyalahgunakan dokumen perjalanannya.

Beliau berkata, antara barang rampasan termasuk 117,600 liter diesel bernilai RM191,240; 24 botol arak pelbagai jenama; 1,274 karton arak pelbagai jenama serta 15 lori.

Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Mereka juga akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya. – Bernama, 1 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen