Najib kata Pakatan akan sibuk berbalah siapa jadi PM jika menang 


Perdana Menteri Najib Razak berkata Barisan Nasional akan memulakan khidmat bakti untuk rakyat serta-merta selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2018.

PERDANA Menteri Najib Razak hari ini menyelar pilihan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dengan berkata Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan jawatan tertinggi negara itu kepada Anwar Ibrahim sekiranya pakatan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebaliknya, kata Najib, jika bekas perdana menteri itu menyerahkan jawatannya kepada Anwar, maka Malaysia akan dipimpin oleh pasangan suami-isteri.

PH telah mengumumkan Dr Mahathirsebagai calon perdana menteri manakala Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri sekiranya ia berjaya memenangi PRU14.

“Terdapat dua senario yang boleh berlaku. Pertama, Tun Mahathir tidak akan melepaskan jawatannya kepada Dato’ Seri Anwar kerana umum mengerti Tun menganggap semua pemimpin lain tak betul,” Najib berkata dalam ucapan yang dimuat naik di blognya hari ini.

Menurut Najib, pada 2016 Dr Mahathir pernah berkata tidak akan membenarkan seseorang yang mempunyai maslaah moral menjadi perdana menteri dan Anwar terlalu tua untuk memimpin negara.

“Senario kedua, kalaulah Tun Mahathir memilih untuk u-turn dan melepaskan jawatan beliau kepada Anwar sekalipun, akibatnya jawatan Perdana Menteri dan Timbalannya, akan disandang oleh sepasang suami isteri. Inilah nepotisme tahap paling kritikal yang diamalkan mereka.”

Kata Naib, sudah tentu rakyat akan memberontak kepimpinan seperti itu.

“Di sini kita dapat ramalkan bahawa jika pembangkang menang pilihan raya kelak, mereka akan kekal sibuk merebut jawatan Perdana Menteri selama 2 ke 3 tahun sebelum mereka dapat memulakan kerja untuk berkhidmat kepada rakyat.”

Namun, kata Najib, sekiranya rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN), “Kami dapat memulakan khidmat bakti untuk rakyat serta-merta selepas pilihan raya kerana kita mempunyai barisan kepimpinan yang kukuh lagi mampan.” – 23 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • perbalahan di antara Tun M dan PKR hangat di perkatakan ,puak PKRmenginginkan Anwar Ibrahim sebagai calon PM,Mereka mengetahui isi tersurat Tun M bukan lah memperjuangkan semata-mata kerana parti tetapi kerana anaknya

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan