Saya tidak pernah jadi ‘katak’, kata Dr Mahathir


Elill Easwaran

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata demikian bagi menepis kenyataan Ahli Parlimen Baling Azeez Abdul Rahim yang membidas beliau semasa perbahasan Parlimen minggu lepas.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Ogos, 2022.

DR Mahathir Mohamad berkata adalah salah untuk melabelkan beliau sebagai katak politik kerana lompat parti, dan berkata beliau sentiasa berpegang pada prinsipnya.

“Saya keluar Umno hanya kerana banyak perkara tidak beretika berlaku di sana, justeru saya menubuhkan Bersatu untuk menerangkan kepada umum apa yang Umno lakukan,” katanya semasa pertemuan dengan penduduk Kampung Baru di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata bahawa adalah malang bahawa Bersatu kemudiannya “dirampas” oleh orang lain, menyebabkan beliau mengasaskan Pejuang.

“Saya tidak boleh duduk bersama dengan orang yang lebih berminat untuk membuat duit, sebab itu saya memulakan Pejuang untuk prinsip, bukan wang,” kata pengerusi Pejuang itu.

Beliau merujuk kepada komen Ahli Parlimen Umno Baling, Azeez Abdul Rahim yang membidas bekas perdana menteri itu dengan menggelarnya ‘bapa loncat’ semasa perbahasan Parlimen minggu lepas mengenai kelulusan akta anti lompat.

“Dr Mahathir adalah bapa kepada semua ‘katak’. Dari Umno, duduk dalam Umno sebagai perdana menteri dan akhirnya dia marah dengan beberapa orang, kemudian dia menyertai Bersatu sebagai pengerusi.

“Selepas itu, dia rasa tertipu, mengkhianati rakannya dalam Bersatu dan menyertai Pejuang,” kata Azeez di Parlimen minggu lalu.

Dr Mahathir berkata beliau sentiasa berpegang pada prinsipnya.

“Saya berpegang pada prinsip saya sejak di sekolah hingga menjadi perdana menteri dengan Umno, dan sekali lagi dengan Pakatan Harapan.

“Sebab itu dalam Pejuang, kami hanya berusaha untuk prinsip dan bukan untuk wang atau kuasa,” katanya.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang larangan lompat parti melalui undi belah bahagian dengan majoriti lebih dua pertiga. – 1 Ogos, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen