Undi Pejuang untuk perjanjian lebih baik, kata Dr Mahathir kepada penduduk Kg Baru


Elill Easwaran

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada pertemuan dengan penduduk Kg Baru di Kuala Lumpur malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Ogos, 2022.

DR Mahathir Mohamad mahu penduduk Kampung Baru mengundi Pejuang untuk perjanjian yang lebih baik dalam pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur.

Bekas perdana menteri itu berkata, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Pejuang dalam situasi sekarang.

“Tiada banyak yang boleh kami lakukan sekarang kerana kami hanya peemerhati. Kami akan mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu untuk anda jika kami menjadi kerajaan hari ini,” kata Dr Mahathir semasa mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kg Baru malam tadi.

Turut hadir Dr Siti Hasmah, Mukhriz Mahathir, Marzuki Yahya dan Khalid Abdul Samad.

Bulan lalu Perbadanan Kemajuan Kampung Baru (PKB) berkata pengambilan tanah untuk projek pembangunan semula Sungai Baru, Kampung Baru perlu diteruskan kerana ia telah memenuhi keperluan undang-undang di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 walaupun ada pemilik yang membantahnya.

Menurut PKB, pengambilan tanah untuk projek pembangunan semula Sungai Baru telah diwartakan di bawah Seksyen 8 APT 1960 pada 21 Jun 2021 melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dr Mahathir berkata Pejuang mempunyai banyak idea untuk menyelesaikan isu itu tetapi ia tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya.

“Itulah sebabnya jika anda mahukan jawapan yang betul daripada orang yang betul maka tukarlah kerajaan…gulingkannya,” kata pengerusi Pejuang itu.

Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu kampung Melayu, yang disifatkannya sebagai dimusnah, di ibu negara dibiarkan seperti sekarang.

“Kami mahu pembangunan di sini untuk pelancong datang tetapi dengan cara yang betul yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu di sini,

“Sebagai contoh kita mahu usaha sama dengan pemaju supaya tanah itu kekal dengan orang Melayu di sini dan mereka boleh mendapat pulangan daripadanya.

“Tetapi untuk melaksanakan idea-idea ini kita (Pejuang) perlu berkuasa,” kata Dr Mahathir.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pilihan raya akan datang sudah hampir.

“Oleh itu, kita mesti bekerja seolah-olah pilihan raya akan diadakan esok. Ia tidak lama lagi,” katanya kepada ahli Barisan Nasional (BN) semasa konvensyen gabungan Selangor di Shah Alam.

“Saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut tetapi pilihan raya tidak terlalu jauh. Kami bersedia dan saya harap anda akan mempromosikan berita baik kerajaan,” kata naib presiden Umno itu.

“Namun kini, orang ramai mengatakan mereka tidak lagi percaya kepada Pakatan Harapan. Justeru, inilah peluang kita,” katanya.

Perjanjian Ismail dengan pembangkang di bawah Memorandum Persefahaman dimeterai dengan pembangkang apabila beliau memegang jawatan tahun lalu untuk tidak membubarkan Parlimen berakhir semalam. – 1 Ogos, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen