Saya makan nasi, tak makan kuinoa, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad berkata beliau hanya makan nasi dari beras tempatan sahaja, merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Najib Razak semalan yang beliau telah menggantikan nasi dengan kuinoa yang diimport. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2018.

DR Mahathir Mohamad turut tidak ketinggalan memberi maklum balas atas pendedahan Perdana Menteri Najib Razak yang beliau telah menggantikan nasi dengan kuinoa yang diimport.

Di akaun Twitternya hari ini, calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) itu berkata beliau hanya makan beras tempatan sahaja.

Tweet Dr Mahathir itu turut mengandungi imej Najib yang sedang tersenyum dengan petikan, “Saya tak makan nasi, saya makan kuinoa.”

Ia turut menyelitkan satu lagi kapsyen seorang pengemis berkata: “Yang dia makan kuinoa 250 gram (kos) RM15, yang rakyat makan beras 1 kg (kos) RM2.170.”

Sejak pendedahan beliau semalam, Najib telah menjadi sasaran kritikan dan sindiran pembangkang. Ketika bercakap pada siaran langsung di Facebook dalam program Bajet 2018 Bersama Rakyat semalam, mengatakan beliau makan bijiran import dari Amerika Selatan itu berbanding nasi kerana ia lebih sihat dan kerana beliau kurang masa untuk bersenam. 

“Masalahnya saya sukakan makanan, sama seperti kebanyakan rakyat Malaysia. Tapi saya perlu kawal (makan).

“Contohnya saya tidak makan nasi tapi makan kuinoa. Anak saya perkenalkan saya kepada kuinoa. Kuinoa ini berasal dari Peru. Orang Inca hidup dengan kuinoa sejak tiga ribu tahun dulu.

“Ia makanan berasaskan protein. Jadi kurang karbohidrat, kurang kandungan gula, lebih bagus dari nasi,” katanya menjawab soalan berkaitan bagaimana beliau menjaga kesihatannya dalam program Bajet 2108.

Terdahulu hari ini, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata  kenyataan Najib itu menunjukkan yang beliau tidak prihatin dengan nasib rakyat Malaysia dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menjadi pertempuran antara kuinoa dan nasi. – 23 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tun M mengata Dato seri Najib apa dia terlupa cucu dia memberlanja duit jutaan ringgit di atas bot layar hanya semata -mata kerana menyambut hari jadi.mana besar wang nya yg boleh di gunakan membantu rakyat.Bercakap biarlah kita menjadi contoh dan tauladan kpd org lain

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan