Tiada penyenggaraan punca projek mahal jadi pembaziran, kata pemimpin masyarakat


Raevathi Supramaniam

Pencadang projek tidak berunding dengan masyarakat setempat sama ada infrastruktur itu diperlukan atau tidak, juga menyebabkan ia terbiar dan berlaku pembaziran, kata pemimpin masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2022.

MINAT Malaysia untuk membangunkan projek dan infrastruktur awam yang besar selalu berakhir dengan pembaziran kerana kurangnya budaya penyenggaraan, kata pemimpin masyarakat.

Dan kurangnya budaya penyenggaraan itu berpunca daripada pencadang projek berkenaan tidak berunding dengan masyarakat setempat sama ada infrastruktur itu diperlukan atau tidak, selain daripada kurangnya kehendak politik.

Pihak berkuasa juga gagal menghargani nilai bangunan bersejarah ketika mereka mahu membina “bangunan paling besar, paling tinggi dan paling bersinar”, sementara membiarkan struktur warisan mereput, kata mereka.

Contoh silap padan antara projek dan keperluan setempat ialah kawasan Little India di Brickfields, berhampiran tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Pengerusi Rukun Tetangga Brickfields SKK Naidu berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) nampaknya lebih berminat membina bangunan tidak perlu, daripada membaiki apa yang perlu dibaiki.

“Ada lima jambatan di Brickfields, tetapi apa yang masyarakat buta perlukan di sini ialah lampu isyarat yang ada bunyi.

“Tetapi pihak berkuasa tidak peduli. Apa yang berlaku ialah semua jambatan ini menjadi tempat penagih dadah dan gelandangan,” kata Naidu.

Kompleks Tun Sambanthan juga antara contoh pembangunan yang terlalu jarang digunakan, katanya.

Naidu berkata DBKL juga tidak memberi respons yang pantas terhadap aduan penduduk sedangkan ia boleh berhubung dengan persatuan tempatan bagi menjaga kawasan kejiranan itu.

“Kami faham DBKL ada banyak projek, mereka bukan perlu pantau Brickfields saja.

“Pertubuhan dan persatuan sivil berdekatan boleh membantu memantau jika mereka tandatangan memorandum persefahaman (MoU) bersama.

“Di Brickfields kira-kira lima tahun lalu, kami tandatangani MoU di bawah Local Agenda 21 (LA21). Jika ada masalah jalan raya berlubang, penutup longkang hilang, kita ada satu kumpulan. Wujud satu pemahaman untuk kita saling bekerjasama.”

Walaupun ada perjanjian itu, Naidu berkata barang masih hilang dan ia tidak berkesan di kawasan itu. Isu itu dibawa kepada DBKL dan datuk bandar, tetapi tiada tindakan diambil.

“Dua perhentian bas berhampiran YMCA dan Little India, di mana mereka belanja besar memasang panel solar, tetapi bila hujan, ia bocor.

“Air pancut di Little India juga tiada penyenggaraan. Kami berterima kasih mereka bina benda ini, tetapi mereka tidak ada sumber untuk melakukan penyenggaraan.

“Bila kita tanya kenapa mereka tidak boleh selenggara, mereka kata ada banyak jabatan dan saling tidak tahu jabatan mana yang buat.” – 1 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen