Haiwan eksotik mudah dijaga, makanan murah


Raevathi Supramaniam

Leslie Lim berinteraksi dengan spesis burung nuri berwarna biru keemasan yang ada di kedainya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 1 Ogos, 2022.

HAIWAN eksotik kini semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia terutama kanak-kanak ekoran ia memerlukan penjagaan yang minima kata pemilik kedai haiwan eksotik.

Berikutan kanak-kanak hari ini mempunyai akses kepada Internet dan YouTube, ramai yang menggunakan peluang itu mencari reptilia yang disukai sebelum meminta ibu bapa membelikannya.

Haiwan eksotik ini dikatakan mudah untuk dijaga dan kos makanannya juga murah.

Pemilik Reptiles Super Store di Puchong, Leslie Lim telah “terjebak” dengan haiwan eksotik ini sejak di universiti lagi yang bermula sebagai hobi.

Namun siapa sangka ia akhirnya bertukar menjadi perniagaan membekalkan makanan reptilia melalui syarikatnya Probugs Feed yang kemudiannya berkembang menjadi kedai haiwan eksotik.

“Ada faktor menarik untuk memiliki haiwan eksotik dan sekarang ini adanya YouTube dan Google kanak-kanak boleh cari tahu tentang haiwan yang mereka sukai. Mereka tertarik dan ajak ibu bapa ke kedai haiwan untuk membeli.

“Tidak seperti anjing dan kucing yang memerlukan banyak masa untuk penjagaan mereka. Macam ular kita hanya perlu beri makan seminggu sekali.

“Ia sangat mudah, anda tak perlu beri perhatian sangat tapi dapat ajar anak untuk menjadi bertanggungjawab,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Lim haiwan yang dijual di kedainya adalah sah di sisi undang-undang termasuk haiwan yang dilindungi kerana pihaknya bakal menyediakan lesen untuk pemilik.

“Memang biasa orang salah tanggap bahawa semua haiwan liar itu dilindungi. Sekarang ini banyak yang dibiakkan untuk pengeluaran besar-besaran jadi ia lebih banyak berbanding di kehidupan liar yang sebenar.

“Seolah-olah pemuliharaan melalui pengkomersialan. Contohnya crested gecko’ yang hampir pupus 10 ke 20 tahun lalu di Amerika Syarikat (AS) tapi sekarang ada di mana-mana,” katanya.

Haiwan yang diimport dari AS dikawal oleh Jabatan Ikan dan Hidpan Liar AS dan sebaik tiba di Malaysia akan dilesenkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitian). – 1 Ogos, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen