Ahli Parlimen diseru sokong RUU Kawalan Produk Tembakau, Merokok 2022


JKPM mmelihat ahli Parlimen perlu menunjukkan kesungguhan dalam membantu melahirkan legasi sihat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2022.

USAHA Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mewujudkan generasi ‘bebas rokok’ melalui Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 wajar diberi sokongan jitu oleh semua ahli Parlimen merentasi jurang politik.

Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM) dalam kenyataan hari ini berkata ahli Parlimen perlu menunjukkan kesungguhan politik yang berani dan semangat kenegarawan yang tinggi dalam membantu melaksanakan RUU itu bagi mencipta legasi kesihatan yang benar-benar berkesan serta berkekalan untuk negara.

Katanya kebimbangan bahawa larangan tembakau bagi generasi yang lahir selepas 1 Jan 2007 iaitu Generasi Penamat (GEG) akan mencetuskan masalah berkaitan pelanggaran kebebasan peribadi kelak adalah tidak berasas.

“Penggunaan tembakau bukan seperti pengambilan makanan manis atau minuman beralkohol justeru perbandingan tersebut tidak relevan. Selain itu, tidak ada tahap merokok yang selamat dan ia membahayakan alam sekitar dan orang yang tidak bersalah di sekitarnya.

“Justeru JKPM menggesa semua ahli Parlimen untuk merebut peluang ini dan memastikan tempat mereka dalam sejarah dengan berani menyokong cadangan larangan tembakau GEG berperingkat ini. Kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, adil, konsisten dan berterusan,” menurut kenyataan itu.

JKPM turut menekankan bahawa pelaksanaan undang-undang pencegahan itu dilihat tepat pada masanya dalam membawa perubahan dan memberi manfaat kepada generasi masa hadapan.

Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Penawar Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan Jamelah A Bakar pula berkata negara perlu mempunyai rang undang-undang khas berhubung produk tembakau serta tabiat merokok, dan bukannya sekadar dimasukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau sedia ada.

“PEMADAM menyeru kepada semua ahli Parlimen agar menyokong RUU yang telah dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Ia adalah untuk menjamin kesihatan awam dan melindungi rakyat kita serta keluarga Malaysia daripada ancaman bahaya produk merokok,” katanya.

Semalam Khairy memaklumkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan mewujudkan GEG atau individu lahir 1 Jan 2007 dan seterusnya bebas merokok itu tidak akan menjejaskan ekonomi negara.

Khairy berkata berdasarkan kajian mendalam yang dijalankan pihaknya, industri tembakau hanya memberi kesan sebanyak 0.18 peratus sahaja terhadap keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 27 Julai lepas, beliau membentangkan rang undang-undang itu yang melarang individu lahir pada 2007 dan seterusnya merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. – Bernama, 31 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen