GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) tiada bantahan terhadap pembentangan rang undang-undang anti lompat parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kata Setiausaha Agungnya Masidi Manjun.
Bagaimanapun katanya pemimpin parti komponen GRS perlu membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut dan yakin pembentangan RUU tersebut di DUN Sabah boleh direalisasikan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu juga berkata RUU tersebut mampu mewujudkan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan adalah sesuatu yang baik untuk politik Sabah.
“Persoalannya ialah bila? Adakah kita perlu mengadakan sidang khas untuk membahaskan rang undang-undang itu atau mungkin kita ingin pertimbangkan kelulusannya semasa sesi belanjawan yang dijadualkan sama ada pada November atau Disember?
“Bagaimanapun saya tidak begitu pasti kerana saya bukan Speaker (DUN Sabah) saya tidak boleh memutuskan agenda mana yang perlu diputuskan (dalam sidang DUN) namun apa yang ingin saya katakan ialah kami tiada bantahan terhadap pembentangan rang undang-undang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri serta pelancaran Bulan Kebangsaan dan kempen Kibarkan Jalur Gemilang di Padang Merdeka di Kota Kinabalu yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Khamis lepas, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi mewujudkan larangan ahli Parlimen bertukar parti menerima sokongan lebih dua pertiga dengan 209 daripada 220 ahli Dewan Rakyat menyokong.
Pada hari sama, Presiden Parti Bersatu Sabah Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata adalah penting bagi DUN Sabah dan Sarawak untuk segera membentangkan undang-undang anti lompat parti kerana pindaan itu tidak terpakai kepada kedua-dua DUN.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau telah dimaklumkan bahawa Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meminda perlembagaan masing-masing bagi membolehkan pindaan itu dikuatkuasakan di peringkat negeri. – Bernama, 31 Julai, 2022.
Komen