Kuinoa lawan nasi pada PRU14, kata DAP


Looi Sue-Chern

Makan kuinoa adalah bukti Najib Razak dan BN tidak memahami kesusahan hidup rakyat Malaysia, kata Lim Kit Siang. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Februari, 2018.

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menjadi pertempuran antara kuinoa dan nasi, kata DAP selepas Perdana Menteri Najib Razak mendedahkan beliau menggantikan nasi dengan kuinoa import semalam.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengatakan Najib makan makanan yang 23 kali lebih mahal berbanding nasi, makanan ruji 30 juta rakyat Malaysia.

Katanya, mereka yang mampu makan kuinoa berada dalam kelompok 2% teratas rakyat Malaysia.

“Sehingga siaran langsung perdana menteri semalam, saya tak pernah dengar quinoa- malah, saya tak tahu pun kuinoa tu wujud.

“Ini mengingatkan saya tentang kisah Marie Antoinette, Ratu terakhir Perancis sebelum Revolusi Perancs pada 1789 apabila dia mengatakan ‘biar mereka makan kek’ bila dia menyedari rakyat biasa tiada roti untuk di makan.

“Maharaja China Hui daripada Dinasti Jin juga pernah berkata ‘mengapa mereka tak makan daging?’ apabila diberitahu rakyatnya tidak cukup nasi untuk dimakan,” kata Kit Siang pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Najib ketika bercakap pada siaran langsung di Facebook dalam program Bajet 2018 Bersama Rakyat semalam, mengatakan beliau makan bijiran import dari Amerika Selatan itu berbanding nasi kerana ia lebih sihat dan kerana beliau kurang masa untuk bersenam.

“Masalahnya saya sukakan makanan, sama seperti kebanyakan rakyat Malaysia. Tapi saya perlu kawal (makan).

“Contohnya saya tidak makan nasi tapi makan kuinoa. Anak saya perkenalkan saya kepada kuinoa. Kuinoa ini berasal dari Peru. Orang Inca hidup dengan kuinoa sejak tiga ribu tahun dulu.

“Ia makanan berasaskan protein. Jadi kurang karbohidrat, kurang kandungan gula, lebih bagus dari nasi,” katanya menjawab soalan berkaitan bagaimana beliau menjaga kesihatannya.

Kuinoa adalah makanan ruji suku kaum Inca di Amerika Latin.

Ia sangat mahal di Malaysia. Sepaket 250g kuinoa organik dijual dengan harga RM14.69 di Teso. Ini bermakna 10kg kuinoa boleh mencecah harga RM591.60.

Dibandingkan dengan beras 10kg Jasmine Super Special yang berharga hanya RM25.85.

“Ia sangat mahal. Jika Najib beri saya sepaket, mungkin saya akan cuba.

“Mungkin Najib akan berikan kuinoa ketika pilihan raya,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Kit Siang mengatakan DAP adalah yang pertama mengkritik Najib kerana tidak memahami penderitaan rakyat Malaysia, menerusi Ahli Parlimen Segamat Lim Lip Eng.

“PRU14 akan jadi kuinoa lawan nasi, kerajaan bersih lawan kleptokrasi, dan Najib lawan rakyat Malaysia,” kata Kit Siang lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengatakan kelembapan ekonomi disebabkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadi punca peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.

Ketua menteri Pulau Pinang itu mengatakan situasi itu tidak seperti yang digambarkan Barisan Nasional bahawa semuanya indah belaka di Malaysia.

“Rakyat susah, terutama sekali mereka yang di bawah (keluarga berpendapatan rendah).

“Mereka hanya boleh makan nasi, bukan kuinoa. Kelas atasan makan kuinoa yang berharga hampir RM600 untuk 10kg.

“Kita makan nasi yang harganya sekitar RM26 untuk 10kg..jangan cakap nasi, ada juga yang tak mampu nak makan nasi,” kata Guan Eng pada sebuah majlis perumahan mampu milik di Butterworth pagi tadi. – 23 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tahniah najib

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan