RUU antilompat parti lulus, masa untuk halang kleptokrat 


MINGGU lalu Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan sokongan kesemua 209 ahli Parlimen yang hadir.

Satu sejarah baru terbentuk dalam negara. 

Maknanya, peristiwa-peristiwa “hitam” yang menyebabkan berlakunya pertukaran kerajaan seperti “Langkah Sheraton” tidak akan kembali berulang.

Watak-watak utama yang terlibat dalam Langkah Sheraton turut menyokong meluluskan RUU ini. Presiden Amanah Mohamad Sabu mengucapkan terima kasih kepada mereka.

“Terima kasih ahli-ahli Parlimen PAS dan yang se-Sheraton dengannya.

“Walaupun semalam tanpa rasa bersalah, tanpa rasa malu mereka menyokong Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), tapi hari ini sekurang-kurangnya mereka tak menentang RUU antilompat parti.

“Terima kasih,” kata Mohamad yang juga ahli Parlimen Kota Raja dalam hantaran Facebook

Walaupun kenyataan Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu itu sinis, tetapi ianya perlu diambil sebagai sesuatu yang positif.

Lulusnya RUU ini boleh menjadi titik pertemuan antara parti-parti yang menentang Barisan Nasional (BN) untuk duduk kembali bagi membincangkan kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar tidak berlakunya pertembungan yang merugikan semua pihak.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor boleh dijadikan iktibar bagaimana perpecahan parti-parti yang menentang BN hanya menguntungkan gabungan yang dipimpin Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu.

BN untung di Melaka dan Johor walaupun jika kita kaji daripada peratusan sokongan, tidak begitu banyak pertambahan yang diperolehi oleh gabungan itu.

Pada PRN Johor, BN hanya memperolehi 43.11 peratus undi popular berbanding Perikatan Nasional (PN) 24.04 peratus dan Pakatan Harapan (PH) 20.48 peratus.

Ejek-mengejek seperti dilakukan Mat Sabu terhadap PAS dan parti-parti yang terlibat dengan Langkah Sheraton tidak akan mengubah apa-apa. 

Jika keegoan dan keangkuhan yang dimartabatkan oleh pemimpin seperti Mat Sabu, BN yang akan mendapat laba.

Perlu diingat, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) baru sahaja meluluskan pindaan perlembagaan Umno.

Ini bermakna, sekiranya PRU15 diadakan dan BN memenanginya, Malaysia akan mendapat perdana menteri baru.

Walaupun mempunyai pelbagai kes rasuah di mahkamah, Zahid masih belum dibuktikan bersalah.

Dan sekiranya BN menang PRU15, secara tradisinya presiden Umno akan dilantik sebagai perdana menteri.  – 31 Julai, 2022.   

* Kamarul Khairy, pembaca The Malaysian Insight. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen