POLIS akan mengambil keterangan empat lagi individu bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung perhimpunan #Turun di hadapan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata sebelum ini seramai 27 individu diambil keterangan membabitkan ahli politik dan aktivis pelajar, namun kertas siasatan yang dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya dipulangkan semula.
“Pejabat Timbalan Pendakwa Raya memulangkan kembali kertas siasatan itu dan mengarahkan untuk merekod keterangan daripada empat individu lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Road March sempena peringatan Hari Polis ke-215 di Dataran Merdeka, hari ini.
Noor Dellhan berkata, keempat-empat individu berkenaan akan diambil keterangan dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pada 23 Julai lalu, kira-kira 100 orang terdiri daripada mahasiswa, ahli parti politik dan beberapa individu berhimpun sambil memegang plakad dan gegantung bertulis ‘potong gaji menteri’, ‘turun dan lawan’ dan lain-lain.
Sementara itu, Setiausaha Polis Malaysia Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata, program Road March yang julung kali diadakan itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaras tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Program sehari yang menyaksikan kerjasama strategik PDRM bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Penerangan Malaysia disempurnakan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan pengarah jabatan pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar DBKL, Ismadi Sakirin.
Pada program bermula jam 7 pagi, orang ramai yang hadir disajikan persembahan aksi payung terjun enam anggota komando VAT 69 PDRM dan perarakan unit berkuda, kenderaan serta aset PDRM.
Kaunter bayaran saman yang menawarkan diskaun 50% turut diserbu ribuan pengunjung yang mengambil kesempatan menyelesaikan bayaran saman tertunggak masing-masing. – Bernama, 30 Julai, 2022.
Komen