Lelaki rakam video tidak senonoh dicekup di Johor


TINDAKAN seorang lelaki merakam video bahagian bawah paha seorang wanita warga asing di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru mengundang padah apabila dia diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata lelaki tempatan berusia 22 tahun dipercayai melakukan perbuatan itu di kaunter bayaran pasar raya pada jam 10.14 malam, Jumaat (29 Julai).

“Wanita warga asing berusia 24 tahun itu diberitahu saksi awam lelaki terbabit merakam video secara sulit di bahagian bawah pahanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian ditahan pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Setia Indah untuk tindakan lanjut.

Raub berkata, hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit lelaki terbabit menemukan pelbagai lagi video rakaman sulit tidak senonoh beberapa wanita lain.

Katanya, lelaki itu kini ditahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – Bernama, 30 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen