Thailand pantau aktiviti seludup minyak masak bersubsidi di sempadan


Timbalan Gabenor Narathiwat Patimoh Sadiyamu berkata, masalah itu boleh diatasi dengan perbincangan kedua-dua negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2022.

KERAJAAN Thailand terus melakukan pemantauan aktif terhadap penyeludupan minyak masak bersubsidi, terutama di sempadan Malaysia-Thailand, kata Timbalan Gabenor Narathiwat Patimoh Sadiyamu.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan bekalan bahan mentah itu semakin mendapat permintaan tinggi di Thailand.

“Kita (kerajaan) mengambil berat mengenai perkara ini dan ia boleh diatasi dengan perbincangan kedua-dua negara (Malaysia-Thailand).

“Malah, peniaga juga tidak boleh memikirkan keuntungan sahaja, kerana mereka perlu akur dengan polisi yang digariskan kedua-dua negara yang tidak membenarkan kemasukan barangan bersubsidi,” katanya kepada pemberita selepas program kayuhan muhibah Malaysia-Thailad di pusat pemeriksaan kastam, imigresen dan kuarantin Bukit Bunga di Jeli, Kelantan hari ini.

Terdahulu, seramai 2,000 peserta dari Thailand dan Malaysia menyertai kayuhan itu yang turut membabitkan pelbagai lapisan peringkat umur termasuk dari jabatan kerajaan dan orang awam dengan kayuhan sejauh 20 kilometer.

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Zahari Kechik serta Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Patimoh berkata, hubungan dua hala antara Malaysia-Thailand akan terus bertambah baik apabila jambatan kedua di Rantau Panjang-Sungai Golok yang berdekatan dengan sempadan kedua-dua negara itu siap sepenuhnya kelak.

“Kita harap kerjasama antara Thailand dan Malaysia akan berterusan dan semakin erat melalui pelbagai perancangan yang dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya. – Bernama, 30 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen