#Turun bagi Putrajaya seminggu penuhi tuntutan


Elill Easwaran

Lima tuntutan mereka kepada kerajaan adalah: memotong gaji menteri, meneruskan subsidi, menambah pakej bantuan rakyat, kawalan harga barangan dan menangani isu sekuriti makanan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2022.

KERAJAAN diberi masa seminggu lagi untuk memenuhi lima tuntutan protes #Turun sebelum satu lagi himpunan dijalankan, kata seorang jurucakap kumpulan itu.

Aliff Naif memberitahu The Malaysian Insight yang penganjur mahu memberikan masa mencukupi untuk kerajaan membuat keputusan berkaitan tuntutan yang dibuat kumpulan pelajar itu.

Lima tuntutan mereka kepada kerajaan adalah: memotong gaji menteri, meneruskan subsidi, menambah pakej bantuan rakyat, kawalan harga barangan dan menangani isu sekuriti makanan.

“Seminggu sudah berlalu sejak protes #Turun. Dan ada menteri seperti Annuar Musa yang sudah memberi maklum balas sangat negatif kepada permintaan potongan gaji.

“Jadi kami akan memberi seminggu lagi kepada kerajaan untuk melihat jika mereka memberi responds kepada tuntutan lain,” kata Aliff.

Pada Isnin lepas, ketua pasukan khas jihad inflasi Annuar yang juga menteri komunikasi menolak tuntutan pemotongan gaji menteri, berkata tiada jaminan strategi itu akan berkesan mengurangkan inflasi.

Beliau turut mencabar mereka yang membuat tuntutan itu supaya memberikan nama negara yang pernah melakukan tindakan itu bagi menguruskan inflasi.

“Boleh beri saya satu negara yang berjaya menurunkan inflasi dengan (menteri) memotong gaji?” soalnya.

Aliff berkata jika kerajaan tidak memenuhi tuntutan mereka, protes seterusnya mungkin diadakan tidak lama lagi.

“Jadi bergantung kepada tindak balas kerajaan kepada tuntutan kami.

“Oleh itu kami memberikan kerajaan seminggu lagi sebelum membuat keputusan,” katanya.

Menurut lagi, mereka menjangkakan lebih ramai kumpulan dan rakyat menyertai protes akan datang.

“Jika kerajaan terus salah tadbir isu kos sara hidup, kami jangka lebih ramai akan turun.”

Minggu lepas, polis menghalang hampir 80 pelajar universiti di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur daripada berarak menuju Dataran Merdeka bagi membantah isu kenaikan kos sara hidup. – 30 Julai, 2022.

Berita penuh di sini. 
 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen