PM lancar Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022


Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ hari ini disempurnakan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Putrajaya. – Gambar Facebook, 30 Julai, 2022.

JALUR Gemilang berkibar megah di pentas Dataran Putrajaya hari ini menandakan bermulanya sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Acara bersejarah itu disempurnakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang memacak Jalur Gemilang berkenaan bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.

Terdahulu, beliau menerima Jalur Gemilang berkenaan daripada sekumpulan kanak-kanak lengkap berpakaian tradisi, simbolik semangat patriotisme melibatkan pelbagai generasi di atas pentas.

Sebelum itu, perdana menteri tiba di Dataran Putrajaya kira-kira 9.33 pagi dengan berjalan kaki dari Dataran Putra sejauh 2.7 kilometer menerusi program Berjalan Teguh Bersama yang turut disertai kira-kira 15,000 Keluarga Malaysia.

Selepas berehat, acara diteruskan dengan bacaan doa diikuti oleh ucapan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 sebelum disusuli ucapan perdana menteri.

Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan, Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Mohammad Mentek.

Majlis turut diserikan persembahan lima tarian tradisional yang menterjemahkan kepelbagaian kaum di negara ini dengan diiringi lagu Keluarga Malaysia oleh Pentarama Jabatan Penerangan.

Ia diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diiringi nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku.

Ismail Sabri kemudian melepaskan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 melibatkan lebih 530 peserta dan 434 kenderaan daripada pelbagai agensi.

Majlis buat pertama kali juga turut diperdengarkan dengan lagu tema Hari Kebangsaan tahun ini “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” oleh penyanyi popular Alif Satar dan The Locos.

Pelepasan konvoi tersebut menandakan bermulanya kembara ke negeri-negeri seluruh negara yang akan berakhir pada 31 Ogos ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur iaitu lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Hari Kebangsaan tahun ini disambut dengan pembaharuan iaitu melibatkan penyertaan di peringkat komuniti dan keluarga supaya tema dan konsep sambutan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dapat dirakyatkan sepenuhnya.

Selain majlis pelancaran itu, dua lagi aktiviti utama akan diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini merangkumi Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka. – Bernama, 30 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen