400 kilogram kokain ditemui di kedutaan Rusia di Argentina 


Menteri keselamatan Argentina Patricia Bullrich ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media yang diadakan semalam berhubung penemuan dadah jenis kokain di kedutaan Rusia di Argentina. Dadah berkenaan dipercayai milik sindiket yang menggunakan khidmat kiriman diplomatik untuk menghantar dadah berkenaan ke Eropah.– Gambar EPA, 23 Februari, 2018.

POLIS merampas hampir 400 kilogram kokain dari kedutaan Rusia di Buenos Aires dan menahan beberapa ahli kumpulan penyeludup dadah, kata menteri keselamatan Argentina pada Khamis. 

Patricia Bullrich memberitahu sidang media, dadah berkenaan ditemui di bangunan kedutaan yang dianggarkan bernilai sekitar 50 juta euro.

“Sindiket penyeludupan dadah ini cuba menggunakan perkhidmatan kiriman diplomatik kedutaan Rusia untuk menghantar dadah berkenaan ke Eropah,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita polis Rusia dan Argentina memutuskan untuk mengadakan serbuan selepas duta Rusia memaklumkan mereka penemuan dadah pada Disember 2016. 

“Kokain itu digantikan dengan tepung dan satu alat pengesan diletakkan untuk memantau penghantaran 16 beg dadah itu,” kata Bullrich. 

Menurutnya, serbuan itu membawa kepada penangkapan lima suspek—dua warga Argentina dan tiga warga Rusia. 

Dadah berkenaan yang memiliki “ketulenan tinggi” akan dihantar ke Rusia dan kemungkinan juga Jerman, di mana dalang utama sindiket itu disyaki tinggal. 

“Kami percaya polis Jerman akan menahan pelarian itu,” kata Bullrich. 

Kementerian itu berkata, perkhidmatan ejen keselamatan Rusia “datang ke Argentina pada tiga peringkat untuk membantu siasatan”, yang mengambil masa lebih setahun. 

Salah seroang daripada dua individu terbabit ditahan di Argentina merupakan warga Rusia yang juga anggota pasukan polis di Buenos Aires, kata Bullrich. 

Penyiasat juga percaya kokain berkenaan berasal dari Colombia atau Peru. – AFP, 23 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen