PEMBENTANGAN Rang Undang-Undang berkenaan antilompat parti sepanjang dua hari ini amat gamat sekali. Majoriti besar ahli Parlimen tidak kira blok kerajaan, pembangkang mahupun bebas menggesa sesuatu perlu dilakukan untuk mengekalkan mandat rakyat.
Akhirnya lewat petang semalam ia lulus dengan majoriti dua pertiga sepertimana dikehendaki perlembagaan.
Namun pada paginya ketika perbahasan Ahli Parlimen Baling Azeez Rahim mencuri tumpuan. Beliau menggunakan Dr Mahathir Mohamad sebagai sasaran serangan. Dilabelnya Dr Mahathir sebagai “bapa loncat”.
-2.jpg)
Dengan memberi penghormatan tabik kepada Anwar Ibrahim, disambung hujahnya bahawa sepatutnya Wan Azizah yang menjadi timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Pakatan Harapan sepatutnya mengambil alih sebagai perdana menteri.
Faktanya Azeez Rahim tiada pengalaman undang-undang. Saya katakan dia ini salah fakta, salah arah dan jelas cuba memutar belitkan segala isu. Dalam bahasa mudah dia tidak betul.
Dalam hujahnya dikatakan segala isu berkaitan lompat parti ini dimulakan oleh Dr Mahathir. Dikatakan Dr Mahathir meninggalkan Umno, melompat ke Bersatu dan kemudiannya ke Pejuang. Di sini Azeez Rahim menyindir bahawa Dr Mahathir punca semua masalah lompat parti.
Azeez Rahim juga Melayu. Maka Azeez Rahim mudah lupa. Dia mudah lupa bahawa Dr Mahathir tidak lompat parti Umno semasa dalam jawatan ahli Parlimen dan/atau menteri. Malah Dr Mahathir meninggalkan Umno pada 29 Februari 2016 serta-merta secara rela hati kerana ahli politik veteran ini percaya Umno yang pada ketika itu dipimpin Najib Razak, hanya melindungi Najib Razak, bukan lagi parti yang diwujudkan lebih 70 tahun lalu.
Kemudian, mungkin Azeez Rahim lupa sebab apa Bersatu ditubuhkan iaitu untuk menjadi parti politik Melayu yang sebenar untuk menjaga kepentingan oorang Melayu dan bukan Melayu dek kerana Umno sudah hilang arah dan taksub pada pemimpin membuta tuli.
Azeez Rahim meneruskan perangai lupanya lagi apabila lupa sejarah Dr Mahathir dan parti Bersatu ini. Ini kerana Dr Mahathir disingkir dari Bersatu pada Mei 2020. Beliau dipecat dari Bersatu yang mana Dr Mahathir dinobatkan sebagai pengerusi tanpa bertanding.
Maka, bagaimana Azeez Rahim boleh menyatakan Dr Mahathir lompat parti sedangkan pada setiap masa dan ketika tiada langsung apa-apa ganjaran atau tawaran jawatan untuk lompat ke parti lain?
Seperkara lagi yang Azeez Rahim dan lain-lain ahli Parlimen harus faham adalah skop Perlembagaan Persekutuan. Sebagai ahli Dewan Rakyat, tugas ahli Parlimen bukan sahaja untuk berlakon depan Rakyat tetapi penting lagi memahami Perlembagaan Persekutuan.
Seseorang perdana menteri itu dilantik dan berdiri atas lantikan itu atas dukungan dan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Begitu juga kisahnya jika hilang sokongan majoriti. Apabila hilang sokongan majoriti di bawah undang-undang, perdana menteri hanya ada dua pilihan. Beliau hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri atau memohon membubarkan Dewan Rakyat.
Maka, tidak timbul langsung isu hendak serahkan kuasa perdana menteri pada timbalan perdana menteri. Ini tiada dalam undang-undang. Ini gagal difahami atau tidak mahu difahami oleh orang-orang seperti Azeez Rahim.
Sebaliknya, apa yang berlaku selepas Langkah Sheraton adalah penggabungan Umno, PAS serta pengkhianat mandat rakyat.
Di sini tiada langsung peranan dimainkan oleh Dr Mahathir.
Sehingga tengah hari semalam saya terfikir, alangkah baiknya kalau kesemua ahli Parlimen Umno yang cakap berdegar-degar dalam dewan itu bercakap sebegitu rupa di hadapan ahli Parlimen Pekan berkenaan isu KWAP, isu 1MDB, isu dakwaan salah guna kuasa dan lain-lain lagi.
Namun, jelas mereka semua retorik sahaja. Di kaca televisyen hujah bergaya, di lobi Parlimen bertepuk-tampar gelak gembira. Akhirnya, nasib rakyat dipertaruhkan. – 29 Julai, 2022.
* Muhammad Rafique Rashid Ali, peguambela dan peguamcara.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen