Melaka sedia pinda undang-undang larang Adun lompat parti, kata ketua menteri


Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata pelaksanaan RUU larang wakil rakyat lompat parti merupakan sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional pada PRN Melaka, November lepas. – Gambar Facebook, 29 Julai, 2022.

KERAJAAN Melaka bersedia meminda Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri bagi melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bertukar parti.

Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berkata pelaksanaan RUU itu merupakan sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lepas.

“Saya sokong RUU berkenaan. Parlimen dah selesai… kita tunggu benda ini (RUU) dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ada rangka masa yang diberikan kepada negeri-negeri untuk turut serta meminda rang undang-undang ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka, Sidang Dua, Penggal Ke-33 di Melaka hari ini.

Semalam media melaporkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah “lompat parti” mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Rakyat.

Pindaan mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang Ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika wakil rakyat itu bertukar parti. – Bernama, 29 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen