AMERIKA Syarikat menyelar Rusia pada Khamis berhubung serangan bom di Ghouta, Timur Syria dan mengatakan negara berkenaan bertanggungjawab ke atas 400 kematian di kawasan pendalaman Damsyik itu.
Selepas serangan udara dan roket terbaharu oleh tentera kerajaan Syria yang menyebabkan 46 lagi kematian, jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert menyalahkan Rusia kerana tidak menghalang sekutunya Presiden Bashar al-Assad.
“Tanpa sokongan Rusia terhadap Syria, kemungkinan kematian tidak akan berlaku,” kata Nauert kepada pemberita.
“Ia merupakan satu peringatan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di sana.”
“Apa yang mereka lakukan untuk hentikan kemusnahan, kematian, pembunuhan yang berlaku di Syria?”
Kritikan itu dibuat beberapa jam selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal mencapai persetujuan dalam draf resolusi baharu untuk gencatan senjata selama 30 hari di Ghouta Timur bagi membenarkan bantuan dihantar ke kawasan penempatan orang awam yang terkandas di situ.
Nauert sekali lagi menyalahkan Moscow kerana “campur tangan” dalam rundingan itu untuk menghalang gencatan senjata.
Nauert berkata serangan di Ghouta Timur, yang bermula pada Ahad menunjukkan kegagalan proses Astana, di mana Rusia, Iran, dan Turki berusaha untuk menggambarkan zon de-eskalasi di Syria, termasuk satu untuk Ghouta Timur.
“Ia memperlihatkan apa yang menjadi kekejaman zon de-eskalasi ini,” kata Nauert.– AFP, 23 Februari, 2018.
Komen