7 maut banjir dekat Tehran


Banjir kilat berhampiran Tehran, di kaki pergunungan Alborz, berlaku kurang seminggu selepas banjir di selatan Iran yang biasanya kering kontang yang meragut 22 nyawa. – Gambar EPA, 29 Julai, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA tujuh orang maut dalam banjir dekat Tehran pada Khamis, kebanyakannya dalam kejadian tanah runtuh yang menyebabkan banjir lumpur sedalam empat meter, kata jabatan kecemasan.

Banjir kilat berhampiran Tehran, di kaki pergunungan Alborz, berlaku kurang seminggu selepas banjir di selatan Iran yang biasanya kering kontang yang meragut 22 nyawa.

Rakaman dari perkampungan Emamzadeh Davoud yang disiarkan di media sosial menunjukkan seorang remaja berlumuran lumpur berpaut pada tiang ketika air menderu laju. Kelihatan dinding runtuh beberapa saat kemudian.

Bulan Sabit Merah Iran berkata enam orang disahkan maut di kampung itu dan sembilan cedera, manakala 14 lagi hilang.

Lebih 500 orang telah dipindahkan, katanya dalam satu kenyataan.

Di timur ibu negara, di Damavand, satu mayat ditemui daripada air banjir, lapor agensi berita IRNA.

Presiden Ebrahim Raisi mengarahkan gabenor Tehran mengambil langkah-langkah untuk mencegah kejadian selanjutnya dan memberi amaran kepada penduduk tentang bahaya, kata pejabatnya.

Pada 2019, hujan lebat di selatan Iran membunuh sekurang-kurangnya 76 orang dan menyebabkan kerosakan dianggarkan lebih $2 bilion. – AFP, 29 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen