GABENOR Texas Greg Abbot semalam mengeluarkan pembatalan hukuman mati saat akhir ke atas seorang tahanan yang mengupah pembunuh upahan untuk membunuh keluarganya selepas bapanya merayu anaknya diampunkan.
Thomas Bartlett “Bart” Whitaker, 38, adalah salah seorang daripada tiga tahanan mati dijadualkan semalam di tiga negeri berbeza di AS.
“Encik Whitaker perlu menghabiskan hidupnya di penjara sebagai hukuman atas jenayah kejamnya,” tulis Abbot dalam pengampunan itu yang dikeluarkan tidak lama sebelum hukuman itu sepatutnya berlangsung.
Abbott dikatakan mengambil kira fakta yang “orang yang melepaskan tembakan membunuh mangsa tidak menerima hukuman mati, tetapi Encik Whitaker yang tidak melepaskan tembakan menerima hukuman mati.”
Beliau menambah: “Bapa Encik Whitaker yang terselamat dalam cubaan bunuh itu menentang hukuman mati anak lelakinya. Ayahnya menegaskan yang dia sekali lagi akan menjadi mangsa sekiranya pihak berkuasa menghukum mati ahli keluarga terdekat terakhirnya.
“Encik Whitaker juga secara sukarela melepaskan semua peluang parol sebagai balasan penjara seumur hidup.”
Whitaker disabitkan bersalah mengupah pembunuh upahan pada 2003 untuk membunuh bapa, ibu dan abangnya. Pembunuh upahan itu juga menembaknya di lengan bagi melindungi dalang pembunuhan kejam keluarga itu. Bapanya terselamat, yang lain tidak. Polis mengatakan Whitaker membenci keluarganya dan berharap dapat mewaris harta AS$1 juta kerana kematian itu. – AFP, 23 Februari, 2018.
Komen