Sepanyol mampu jadi hab gas EU, kata Sanchez 


Perdana Menteri Pedro Sanchez pada Rabu berkata Sepanyol bersedia menjadi hab gas bagi membekalkan tenaga ke negara-negara Kesatuan Eropah. – Gambar EPA, 28 Julai, 2022.

PERDANA Menteri Pedro Sanchez pada Rabu berkata Sepanyol bersedia menjadi hab gas bagi membekalkan tenaga ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU), lapor Sputnik.

“Kami mempunyai regasification system yang sangat cekap di sini di Sepanyol. Saya berpendapat Sepanyol mempunyai keupayaan untuk menjadi hab untuk mengeksport ke negara-negara yang terjejas akibat sekatan (Presiden Rusia Vladimir) Putin,” kata Sanchez pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Poland, Mateusz Morawiecki, di Warsaw.

Penyiar stesen radio Sepanyol, Cadena SER melaporkan pada minggu lalu Madrid sedang mempertimbangkan untuk mengeksport gas ke Eropah melalui dua saluran paip merentasi Pyrenees serta menggunakan sistem gasnya untuk mengelak daripada terpaksa mengalami kekurangan gas.

Harga gas di Eropah telah melonjak minggu ini kepada AS$2,500 bagi 1,000 meter padu setakat Rabu, selepas Gazprom mengumumkan rancangannya untuk mengurangkan bekalan gas dari Rusia ke Eropah mulai 27 Julai kepada sekitar 33 juta meter padu sehari atau hanya 20 peratus daripada kapasiti. – Bernama, 28 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen