Putrajaya tak kemuka sistem daftar pelarian kepada kami, kata UNHCR


Elill Easwaran

Menurut jurucakap UNHCR, kerajaan tidak membangkitkan langsung, dalam mesyuarat, mengenai sistem pengesanan maklumat pelarian TRIS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2022.

PUTRAJAYA tidak membangkitkan perihal Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian (TRIS) dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam mana-mana mesyuaratnya, kata agensi PBB itu.

“Hal tentang skim pendaftaran TRIS tidak dibangkitkan kepada kami dalam banyak mesyuarat konstruktif yang diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata ketua unit komunikasi dan maklumat awam agensi itu, Yante Ismail, kepada The Malaysian Insight.

Katanya UNHCR sedar yang skim pendaftaran TRIS dimulakan kerajaan Malaysia pada 2017.

“Pada masa itu, UNHCR menerima pengesahan rasmi daripada kerajaan yang syarikat pihak ketiga telah dilantik oleh Kementerian Dalam Negeri untuk mewakili kerajaan Malaysia.

“Ia mohon pelarian daftar dengan skim TRIS kerajaan, dan membayar jumlah tahunan tertentu untuk menerima kad yang dikeluarkan kerajaan.

“Tetapi kami tidak dapat beri sebarang maklumat mengenai skim itu, mahupun termanya kerana ia tidak dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat,” katanya.

Yanti bagaimanapun berkata UNHCR telah berbincang dengan kerajaan melalui Pasukan Petugas Bersama yang dimulakan kerajaan mengenai pelbagai isu berkaitan perlindungan pelarian di negara ini.

“Perbincangan termasuk perkongsian data maklumat pelarian, pendaftaran bersama dengan kerajaan, penyaringan pencari suaka dan akses kepada status undang-undang,” kata Yante.

Pada masa ini pelarian mendapatkan pengiktirafan undang-undang melalui kad pelarian UNHCR mereka.

Pada Jumaat, kerajaan meluluskan penggunaan TRIS untuk semua pemegang kad UNHCR di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata pemegang kad UNHCR di negara ini mesti berdaftar dengan TRIS untuk mengenal pasti lokasi mereka dan laporan mereka kepada negara.

Katanya TRIS dapat memastikan sama ada pelarian itu tinggal di negara ini untuk tujuan kerja atau untuk menjalankan urusan lain, yang kemudiannya dapat dipertingkatkan melalui polisi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)

TRIS merupakan sistem pangkalan data Malaysia, yang berkaitan dengan status pemegang kad UNHCR dan pencari suaka selain bagi mengemas kini proses pengurusan dan profil bersama-sama dengan proses pengumpulan data, pendaftaran, penyimpanan profil, analisis dan pelaporan untuk Kerajaan Malaysia.

Pada masa ini pelarian mendapatkan pengiktirafan undang-undang melalui kad pelarian UNHCR mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2022.

Aktivis selar sistem kesan maklumat pelarian

Sementara itu Mahi Ramakrishnan dari Beyond Borders berkata beliau tidak bersetuju dengan sistem pengesanan baharu tersebut.

“Kita tidak boleh percayakan kerajaan, terutamanya Menteri Dalam Negeri yang ‘cepat melenting’ apabila melibatkan serbuan imigresen di mana pelarian dan pekerja asing akhirnya ditahan.

“Saya tidak pasti sama ada ia satu cara untuk kerajaan mengepung pelarian dan menghantar mereka pulang. Kami terikat dengan prinsip non-refoulement (tiada penghantaran pulang paksa) malah saya harap kerajaan akan menghormatinya,” katanya.

Mahi berkata kerajaan telah terlibat dalam beberapa jenis pertikaian dengan UNHCR dan ini seolah-olah cubaan memaksa mereka untuk membocorkan maklumat tentang pelarian secara tidak langsung.

“Kita semua tahu pilihan raya umum akan datang semakin hampir dan saya tertanya-tanya adakah ini cara untuk menjadikan pelarian sebagai ancaman keselamatan, dan untuk menunjukkan bahawa kerajaan prihatin terhadap keselamatan semua rakyat Malaysia.

“Perbualan mengenai pendatang paksa sentiasa mengenai keselamatan dan oleh itu saya tidak akan terkejut jika ini adalah satu lagi muslihat,” kata Mahi.

Mahi juga berkata kerajaan harus berunding dengan semua pihak berkepentingan, komuniti, organisasi masyarakat sivil, ahli Parlimen yang bekerjasama rapat dengan pelarian dan lain-lain.

“Keputusan untuk melaksanakan TRIS tanpa berunding dibuat secara sewenang-wenangnya.”

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata pemegang kad UNHCR di negara ini perlu berdaftar dengan TRIS supaya kerajaan dapat kenal pasti lokasi mereka dan laporan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2022.

Sementara itu, pengarah eksekutif kumpulan hak asasi Inisiatif Utara Selatan (NSI) Adrian Pereira berkata Malaysia secara amnya tidak mempunyai undang-undang yang komprehensif dengan institusi yang disertakan untuk perlindungan pelarian dan pencari suaka.

“Oleh itu, sistem sebegini amat diragui kerana ia tidak direka bentuk secara berunding dengan masyarakat sivil dan dengan komuniti pelarian.

“Malah, lebih teruk lagi, ia cadang keperluan untuk jejak seluruh masyarakat,” kata Adrian.

Menurut Adrian, pelarian amat risau mengapa sistem sebegitu diperlukan kerana mereka sudah pun mengalami pelbagai penderaan di Malaysia setiap hari.

“Mekanisme ini akan dilihat sebagai satu lagi jalan tragis untuk berlaku lebih banyak salah guna.

“Mereka juga sangat bimbang tentang keselamatan data dan apa yang akan berlaku jika data itu bocor,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya membiarkan sahaja UNHCR menjalankan tugasnya.

“Kerajaan perlu pastikan ia mempunyai rangka kerja undang-undang yang telus dan komprehensif untuk memastikan perlindungan pelarian dan pencari suaka.”

Menurut UNHCR, sehingga Februari 2022, terdapat 181,800 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan agensi itu di Malaysia.

UNHCR berkata 86% pencari suaka adalah dari Myanmar, manakala bakinya ialah 25,990 pelarian dan pencari suaka dari 50 negara yang melarikan diri dari peperangan dan penganiayaan.

Ini, katanya, termasuk dari Pakistan, Yaman, Syria, Somalia, Afghanistan dan lain-lain. – 28 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen