Mora sah tinggalkan JDT


Menurut JDT, Benjamin Mora mengendalikan 148 perlawanan selaku jurulatih JDT sejak 2017 dan memenangi 102 perlawanan. – Gambar Facebook Johor Southern Tigers, 27 Julai, 2022.

KETUA Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora sah meninggalkan skuad Harimau Selatan untuk pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadinya.

Bagaimanapun JDT menerusi hantaran dalam laman Facebook Johor Southern Tigers menyatakan pintu kelab itu sentiasa terbuka untuk pengendali yang berusia 43 tahun itu kembali, pada masa akan datang.

“Kelab Bolasepak JDT mengucapkan terima kasih kepada Mora atas khidmat baktinya. Mora meminta untuk membenarkan beliau pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan dan JDT menghormati permintaan tersebut dan akan membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk beliau kembali pada masa akan datang.

“Terima kasih, Mora. Anda akan selamanya menjadi sebahagian daripada Keluarga JDT. Jumpa lagi,” menurut hantaran itu hari ini.

Menerusi hantaran itu, JDT memaklumkan Mora merupakan Jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

Menurut JDT jurulatih kelahiran Mexico itu mengendalikan 148 perlawanan selaku jurulatih JDT sejak 2017 dan memenangi 102 perlawanan.

Mora yang berpengalaman luas melatih beberapa kelab di Mexico dilantik sebagai Ketua Jurulatih JDT II pada 14 Disember 2015 dan kemudiannya dilantik Ketua Jurulatih JDT menggantikan Mario Gomez pada 18 Januari 2017. – Bernama, 27 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen