SEPUCUK surat dengan serbuk putih dihantar kepada Putera Harry dan tunangnya Meghan Markle, lapor akhbar Evening Standard pada Khamis, mengatakan ia juga dipercayai mengandungi mesej berunsur perkauman.
Akhbar tersebut mengatakan pegawai daripada unit anti keganasan Polis Metropolitan dipanggil selepas surat itu diterima pada 12 Februari di sebuah pejabat pengisihan di Istana St James di London.
Bagaimanapun, analisis terhadap serbuk putih itu mendapati ia tidak berbahaya.
Ketika dihubungi oleh AFP, perkhidmatan akhbar Putera Harry di Istana Kensington enggan mengulas lanjut mengenai laporan itu.
“Polis sedang menyiasat selepas bungkusan yang mengandungi bahan itu dihantar ke Istana St James pada Isnin, 12 Februari,” kata polis dalam satu kenyataan.
“Bahan itu diuji dan disahkan sebagai tidak mencurigakan. Pegawai juga menyiasat dakwaan komunikasi berniat jahat berkaitan dengan pakej yang sama,” kata kenyataan itu.
Evening Standard mengatakan pihak polis dipercayai sedang mengkaji sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan satu pakej berisi serbuk putih yang dihantar ke Parlimen British pada 13 Februari.
Pasangan itu akan berkahwin di Windsor pada 19 Mei.
Ketika hubungan mereka mula didedahkan pada 2016, Harry mengeluarkan kenyataan keras terhadap media yang mengganggu teman wanitanya yang berdarah campuran itu.
Setiausaha komunikasi Harry Jason Knauf berkata pada masa itu Markle menjadi subjek “gelombang penyalahgunaan dan gangguan.”
“Putera Harry bimbang dengan keselamatan Cik Markle dan sangat kecewa kerana beliau tidak dapat melindunginya,” kata Knauf. – AFP, 22 Februari, 2018.
Komen