Sejarah bekalan elektrik terputus di Malaysia


Raevathi Supramaniam

Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyebut, gangguan bekalan yang bermula kira-kira 12.40 tengah hari itu dikenalpasti berpunca dari kerosakan di satu pencawang masuk utama di Yong Peng, Johor. – Gambar EPA, 27 Julai, 2022.

BEKALAN elektrik terputus di beberapa kawasan di Lembah Klang tengah yang berlarutan lebih dua jam hari ini menyebabkan gangguan lalu lintas dan tempat kerja.

Kawasan yang terjejas termasuklah Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.

Gangguan bekalan elektrik itu turut dilaporkan di Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyebut, gangguan bekalan yang bermula kira-kira 12.40 tengah hari itu dikenalpasti berpunca dari kerosakan di satu pencawang masuk utama di Yong Peng, Johor.

The Malaysian Insight menyingkap semula sejarah gangguan bekalan elektrik terburuk yang dilaporkan di negara ini.

1992:

Pada 29 September 1992, negara terputus bekalan elektrik berpanjangan dan meluas disebabkan kilat menyambar kemudahan transmisi hingga mengakibatkan kegagalan sistem penghantaran serta pengedaran. Gangguan itu berlarutan berhari-hari.

1996:

Pada 3 Ogos 1996, talian penghantaran berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka, Terengganu menyebabkan semua stesen janakuasa di Semenanjung Malaysia terganggu.

Ini mengakibatkan masalah bekalan kuasa besar-besaran selama beberapa jam. Berikutan itu, kerajaan bertindak membenarkan lima pengeluar tenaga bebas memasuki perniagaan penjanaan elektrik.

2003:

Pada 4 September 2003 beberapa negeri, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor mengalami gangguan bekalan elektrik akibat gangguan bekalan elektrik.

Gangguan bekalan elektrik itu berlarutan selama lima jam dari 10 pagi hingga 3 petang.

2005:

Pada 17 Februari 2005, kerosakan pada talian penghantaran utama berhampiran Serendah, Selangor mengakibatkan bekalan elektrik terputus di negeri-negeri utara termasuk Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

2013:

Gangguan besar-besaran terakhir dilaporkan pada 27 Jun 2013, kali ini di Sarawak.

Kerosakan di Empangan Bakun menyebabkan gangguan bekalan elektrik merentasi pelbagai grid kuasa. Ia turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas luar biasa.

Pada Julai, sebahagian Kuala Lumpur, Selangor dan Puchong turut terputus bekalan elektrik. – 27 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen