ADA satu kata yang menakutkan untuk lelaki dan perempuan, mungkin lebih menggerunkan untuk perempuan; tetapi ia juga menakutkan untuk sesetengah lelaki. Kata itu berbunyi “rogol”.
Rogol adalah satu perbuatan jenayah yang memaksakan hubungan seks secara tidak direla, sehingga meninggalkan kesan trauma dan kebencian yang berbekas dalam jiwa dan memori mangsa.
Rogol juga adalah satu parameter atau indikator masyarakat yang sakit atau sihat kewarasan seksual, atau minda seksnya. Minda seks adalah satu minda atau benak yang memikirkan cara untuk melampiaskan nafsu yang meruap-ruap. Semacam untuk melepaskan sisi kebinatangan kita, manusia.
Maka dengan itu, ada regulasi berbentuk tradisi, kepatuhan moral, hukum agama, dan undang-undang atau semacam regulasi, daripada pemerintah. Ia untuk mengawal dan menguruskan keinginan manusia tersebut.
Terdapat mereka yang berdiam-diam mengurus minda seksnya. Mungkin ia mencari porno untuk menyalurkan keinginan tersebut. Terdapat yang melakukan onani. Terdapat pula yang menyalurkan keinginan dan minda seks itu kepada pasangan, baik secara sah yakni perkahwinan, atau secara kerelaan iaitu hubungan suka sama suka. Juga, ada yang mencari saluran tidak sah yang mungkin mengundang kutukan masyarakat.
Dalam hal ini, minda seks akan mendorong pencarian pekerja seks. Terdapat negara menghalalkan aktiviti ini agar dapat mengawal secara lebih meluas minda seks yang meletus dan melahar tersebut.
Maka disediakan semacam satu blok, satu wilayah, satu jalan yang dipasangkan lampu merah. Daerah itu mungkin kelam dan kumuh. Tetapi ia dipantau.
Ada negara yang melarang aktiviti ini sebagai sesuatu yang nista dan celaka. Pun ia tidak mematikan minda seks. Oleh sebab itu, ia akan tetap disalurkan dengan cara pelbagai. Secara bawah tanah.
Tekanan dan represi minda seks ini membawa kepada rogol.
Sebelum kita membincangkan minda seks dan perogolan, harus diingatkan rogol juga adalah senjata yang jahanam.
Ketika perang, rogol selalu dijadikan senjata. Pun ia berkait rapat dengan askar yang keluar ke medan untuk satu waktu lama dan memerlukan saluran melepaskan sisi kehaiwanannya.
Maka rogol dibenarkan, maka merogollah mangsa perang khusus di negara yang dilanda dan ditempur. Pada zaman Nabi dahulu, untuk menguruskan minda seks tentera dalam kalangan para “sahabat” ini maka nikah kontrak diperkenalkan.
Ketika Perang Dunia Kedua, rogol terjadi besar-besaran di semua zon perang. Contoh paling lahanat ialah perogolan yang dilakukan oleh tentera Jepun di kawasan yang mereka duduki. Tentera Rusia juga dikenal merogol wanita Jerman ketika itu. Hari ini, terdapat dakwaan rogol di Ukraine oleh tentera Rusia. Lelaki dan perempuan sama dijadikan mangsa.
Dalam dekad-dekad terdekat, kira-kira 20 konflik militari dan paramilitari di seluruh dunia menggunakan rogol sebagai peluru. Kisah kejam di Bosnia, penghapusan etnik tertentu di Rwanda, atau kejatuhan regim terdahulu di Indonesia semua dikaitkan dengan perogolan. Di Rwanda yang paling sial adalah wanita dan lelaki bangsa Tutsi dirogol oleh tentera Hutu yang punya HIV.
Akan tetapi itu semua berlaku tatkala perang.
Ingat, tekanan dan represi minda seks ini membawa kepada rogol. Malaysia bukan dalam keadaan perang, ya jika kita mahu memikirkan sedemikian.
Akan tetapi, mengapakah di Malaysia saat ini, tatkala kita mengalih kepala ke kiri kita membaca berita rogol, dan saat mengilas ke kanan kita juga akan terdengar kes rogol.
Dalam masa seminggu dua ini sahaja ada macam-macam cerita rogol. Contohnya berita penceramah bebas yang disyaki merogol seorang remaja (berkali-kali). Atau kejadian rogol di Melaka di mana terdapat empat remaja dituduh di Mahkamah ekoran tuduhan merogol secara berkumpulan terhadap seorang pelajar tingkatan lima.
Di Perak enam lelaki termasuk yang masih remaja ditahan selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan. Mereka yang didakwa merogol ini berusia lingkungan antara 16 sehingga 21 tahun.
Hujung tahun lalu, Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat, menyatakan rogol di Serambi Mekah meningkat kepada 93 kes dalam tempoh 11 bulan tahun 2021, berbanding 86 kes bagi tempoh stahun 2020.
Perogolan paling banyak berlaku di Kota Bharu diikuti di daerah Bachok. Malah beliau mengaku, ada kemungkinan terdapat kes yang tidak dilaporkan untuk menjaga air muka. Bahkan terdapat khabar angin rogol dilakukan oleh pemain bola sepak.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Mohd Amar Nik Abdullah, menjelaskan kerajaan Serambi Mekah tidak harus dipersalah.
Selalu, sebagai solusi untuk rogol atau minda seks yang melubu-lubu terpancut keluar itu, agama akan dijadikan tawaran. Akan tetapi berapa ramaikah agamawan yang ikut pula terlibat dengan rogol, atau liwat?
Laporan mengenai ustaz atau guru agama yang merogol juga kerap kita temukan. Makanya adakah agama masih merupakan satu sandaran yang munasabah?
Ya, harus diingat perogolan ini bukan terhad untuk penganut Islam. Kita juga membaca kisah rogol di gereja (meskipun ia berlaku di Barat).
Kaum Islamis sering menyalahkan mangsa yang dikatakan mendedahkan tubuh badan sehingga mendorong perogolan. Akan tetapi bagaimana kita mahu menjelaskan perogolan terhadap haiwan seperti kambing dan kucing yang juga berlaku di negara kita?
Kaum kanan di Malaysia juga menyinggung apa yang mereka namakan sosioseksualiti iaitu kononnya budaya seks bebas, yang membawa kepada keinginan dan kehendak, serta penawaran yang berlebihan sehingga memuncakkan perogolan.
Pun, ia tidak benar kerana perogolan di negara sekular dengan undang-undang yang “jelas” jauh lebih rendah; malah dalam sesetengah masyarakat sekular, terdapat sifar atau nol rogol.
Dan jika kaum Islamis mahu kembali kepada agama, apakah ada kemungkinan mereka akan lebih progresif dengan membenarkan hukum nikah kontrak? Atau dalam konteks Ahlus Sunnah wal Jamaah membolehkan nikah misyar diamalkan?
Ini kerana perkahwinan bawah umur kelihatannya tidak juga membantu mengekang perogolan.
Mengapa ada mereka yang gagal mengawal minda seksnya lantas merogol? Lebih membingungkan mengapa seorang bapa atau datuk merogol anak atau cucunya, mengapa pula seorang agamawan yang selalu meleterkan nahi mungkar, lancar terpancut dari mulutnya ayat suci dan hadis menegur perihal aurat orang; akhirnya ikut sama terjebak merogol? Adakah dengan mudah kita menyalahkan syaitan?
Rogol juga adalah satu parameter atau indikator masyarakat yang sakit atau sihat kewarasan seksualnya, atau minda seksnya. Jika Kelantan negeri paling tinggi iblis mencanak kes rogol maka kita tahu masyarakat negeri itu paling iblis sakit minda seksnya. Secara menyeluruh, Malaysia memang sakit kerana kes dan jenayah rogol menjadi-jadi.
Pertamanya, kita harus sedia tiba di peringkat atau takah pertama perawatan iaitu mahukah kita mengakui bahawa kita, adalah masyarakat Malaysia yang sakit kerana melepas dan melampiaskan nafsu kebinatangan dan minda seks kita dengan merogol? Tahap negara kita ialah kita - lelaki atau perempuan - mungkin saja dirogol pada bila-bila masa. Ia menakutkan.
Keduanya, barulah kita akan memasuki peringkat atau takah seterusnya iaitu memikirkan penyelesaian. Jika agama gagal menawarkan, atau jika agamawan ikut merogol dan pihak berkuasa enggan mengakui tradisi beragama kita bermasalah; maka bolehkah kita membenarkan persekitaran dan kerangka sekular memberikan jawapan?
Jika tidak, sanggupkah kita hidup dalam masyarakat yang minda seksnya terempang dan menanti masa terbelalak keluar.
Jika kita tidak berusaha membetulkan keadaan ini, sanggupkah kita hidup dengan kaki rogol untuk tahun-tahun, atau dekad-dekas seterusnya? Yakni, hidup dengan kaki rogol.
Sepertinya menaiki tren ke sana sini dengan kaki rogol; belajar tajwid atau mengaji dengan kaki rogol; bekerja di pejabat dengan kaki rogol; membenarkan doktor atau jururawat yang mungkin merogol kita di klinik dan hospital; bertemu pawang atau bomoh yang pasti merogol; menghantar anak ke sekolah yang gurunya mungkin memendam keinginan merogol; dan lebih dahsyat mempunyai pemimpin kaki rogol? – 27 Julai, 2022.
* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen