PIHAK berkuasa Mexico City berkata mereka telah merampas 1.6 tan kokain pada Selasa dipercayai dari Colombia, menyifatkan ia sebagai penemuan terbesar seumpama itu di ibu negara.
Polis menemui dadah itu dalam kotak tersembunyi dalam dua treler di lebuh raya di pinggir bandar, kata ketua keselamatan ibu negara Omar Garcia Harfuch.
Ia adalah “rampasan kokain terbesar di Mexico City setakat ini,” katanya kepada pemberita.
Menurut siasatan awal, penghantaran tiba melalui laut dari Colombia ke pelabuhan Puerto Escondido.
Sebahagian daripada kokain itu dipercayai untuk diedarkan di ibu negara dan sebahagian daripadanya untuk pasaran Amerika Syarikat, kata Garcia Harfuch.
Empat anggota kumpulan yang disyaki dari barat laut Mexico telah ditangkap, tambahnya.
Ia merupakan operasi terbesar kedua yang menyasarkan kartel dadah di Mexico City pada Julai.
Dua minggu lepas, polis menahan 14 suspek dan merampas senjata serta dadah di selatan ibu negara.
Kebanyakan mereka yang ditahan ditahan kerana disyaki tergolong dalam kartel Sinaloa yang terkenal. – AFP, 27 Julai, 2022.
Komen