JAKET yang dipakai oleh angkasawan Amerika Syarikat (AS) Buzz Aldrin semasa penerbangannya dengan Apollo 11 ke bulan pada 1969 telah dilelong pada harga AS$2.7 juta di New York pada Selasa, umum Sotheby’s.
Jaket putih itu, dihiasi dengan bendera Amerika, logo Nasa, tampalan misi Apollo 11 dan nama “E. ALDRIN,” adalah sebahagian daripada koleksi peribadi yang diputuskan oleh angkasawan berusia 92 tahun itu untuk dijual.
“Pakaian yang sangat langka itu menarik minat beberapa pembida sejak hampir sepuluh minit sebelum dijual kepada pembida melalui telefon,” kata Sotheby dalam satu kenyataan.
“Selepas pertimbangan mendalam, masa yang sesuai untuk berkongsi barang-barang ini dengan dunia, yang bagi kebanyakan orang adalah simbol bersejarah, tetapi bagi saya sentiasa kekal sebagai kenangan peribadi kehidupan yang didedikasikan untuk sains dan penerokaan,” kata Aldrin, orang terakhir yang hidup daripada tiga kru penerbangan Apollo 11, dalam satu kenyataan minggu lepas.
Beliau menjelaskan jaket itu berasingan daripada pakaian angkasa yang dipakainya semasa berjalan di bulan bersama rakan angkasawan Neil Armstrong, tetapi beliau memakainya semasa terbang pergi dan balik dari Bulan.
“Saya pakai Inflight Coverall Jacket… dalam Command Module Columbia, ketika perjalanan bersejarah kami ke bulan dan pulang semula ke bumi semasa misi Apollo 11,” kata Aldrin.
Sut yang dipakai di bulan oleh Aldrin dan Armstrong adalah sebahagian daripada koleksi Muzium Udara dan Angkasa Negara di Washington.
Secara keseluruhan, lelongan New York memperoleh AS$8.2 juta untuk 68 item yang dijual daripada 69 yang ditawarkan, termasuk AS$819,000 untuk pelan penerbangan. – AFP, 27 Julai, 2022.
Komen