SUDAH lama saya terserempak dengan terma “Theatre State” yang dibawa oleh Geertz. Tidak usahlah diterangkan apa itu “Theatre State” secara terperinci, namun apa yang berlaku dalam politik Malaysia baru-baru ini adalah penampakan ritual dan formaliti yang berlebihan mengatasi isi dan prestasi.
.jpg)
Geerts menekankan, dengan mengambil iktibar daripada sultan-sultan Bali dan budaya yang mereka persembahkan, yang demikian telah mengatasi hal-hal pentadbiran dan kebajikan yang sewajarnya lebih penting kepada Bali.
Apa yang mereka lakukan, seperti kata Geertz adalah untuk mengagungkan diri sendiri dan bukan rakyat apatah lagi kemajuan Bali.
Lebih mengasyikkan lagi, apabila sarjana dan pengkiritik menyamakan terma atau konsep “Theatre State” ini kepada tatakelola politik di Asia Tenggara.
Benarlah hemat mereka, di Malaysia contohnya, dan di negeri yang satu itu, bahawa “Power served pomp, not pomp power” dan “The stupendous cremations, tooth fillings, temple dedications, pilgrimages, and blood sacrifices, mobilizing hundreds and even thousands of people and great quantities of wealth, were not means of political ends, they were the ends themselves. They were what the State was for.”
Politik kita adalah politik Melayu, juga politik Asia Tenggara. Majlis-majlis, jawatankuasa-jawatankuasa, pakaian-pakaian, kereta-kereta, rumah-rumah, makan-makan di pusat konvensyen, mesyuarat-mesyuarat di hotel adalah “Not means of political ends, they were the ends themselves. They were what the State was for.”
Tidaklah salah, tapi ia jauh sekali daripada betul. Sedangkan kemajuan sebuah peradaban harus menekankan isi dan prestasi, yang kedua-duanya perlu dukungan insan-insan yang berpolitik dan mereka yang “above politics”.
Ingatlah, penekanan melampau terhadap ritual dan formaliti tanpa mengendahkan betapa seriusnya sebuah negara dan negeri perlu ditadbir dengan isi dan prestasi, akan mendungukan rakyat serta menambat rahmat Tuhan.
Kerana, apalah erti seorang Khalifah jika beliau hanya hidup dengan mementingkan majlis-majlis, jawatankuasa-jawatankuasa, pakaian-pakaian, kereta-kereta, rumah-rumah, makan-makan di pusat konvensyen dan mesyuarat-mesyuarat di hotel.
Tentu sekali, tugas dan hakikat Khalifah lebih besar daripada yang disebutkan tadi. – 27 Julai, 2022.
* Abdullah Ilham, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen