Pelajar gesa inisiatif bantuan makanan Keluarga Malaysia ditambah baik


Alfian Z.M. Tahir

Walaupun inisiatif Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia idea yang baik tetapi ia hanya untuk jangka masa pendek. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2022.

SET makanan yang ditaja kerajaan untuk pelajar universiti awam adalah “idea bagus” tetapi tidak dilaksanakan dengan baik, selain langkah jangka pendek yang tidak menangani peningkatan kos sara hidup, kata pemimpin pelajar.

Hidangannya yang sama setiap hari, menimbulkan kebimbangan mengenai kelebihan nutrisi daripada makan pelbagai jenis makanan, manakala tidak semua pengusaha gerai makanan menyertai program itu, kata mereka.

Inisiatif yang dinamakan Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia itu menawarkan dua jenis set hidangan berharga RM3.50 atau RM5.

Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Aliff Naif Mohd Fizam berkata dengan harga RM3.50, pelajar menerima nasi dengan telur goreng dan sayur.

Bagi lauk seperti seketul ayam atau ikan, bersama nasi dan sayur-sayuran, pelajar mesti membeli hidangan set berharga RM5. Turut ditawarkan dengan harga RM5 ialah nasi goreng kampung atau nasi goreng cili padi.

“Di atas kertas memang inisiatif ini membantu pelajar berpendapatan rendah mengharungi kenaikan kos sara hidup, tetapi ia hanya rancangan jangka pendek. Perancangan jangka panjang mestilah untuk menyelesaikan masalah itu terus,” kata Aliff.

“Jika anda memperbaikinya, maka kerajaan boleh menurunkan harga barangan di negara ini secara keseluruhan.”

Aliff turut mempersoalkan mengapa tidak semua kafeteria di kampus menyediakan inisiatif makanan murah itu.

Perkara ini disuarakan oleh Chang Hung Wei, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan persoalan yang sama mengenai pengusaha gerai makanan di kampusnya, kerana mereka sepatutnya menerima pengecualian sewa gerai sebagai pertukaran bagi menjual hidangan set yang lebih murah.

“Adakah gerai masih menerima moratorium (sewa) selama enam bulan jika tidak menyediakan inisiatif bakul makanan? Kerana tidak semua kafe atau pemilik gerai makan menyediakan hidangan ditetapkan untuk pelajar.

“Saya juga berpendapat program ini perlu mempunyai lebih banyak variasi makanan. Di UUM ini, kita boleh memilih ‘ayam merah’ atau ‘ayam kicap’ sahaja manakala sayurnya hanya kobis.

“Ayam hanya dijual pada waktu makan tengah hari. Untuk makan malam, hanya ada ikan bilis tetapi harganya sama dengan ayam,” kata pelajar Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan itu.

Awal bulan ini, susulan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai program makanan itu, Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata pengusaha gerai makan di IPTA akan diberi moratorium sewa selama enam bulan mulai bulan ini.

Ini supaya mereka boleh menawarkan pelajar set makanan yang lebih murah, katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Malaya Arvinkumar Mohan berkata walaupun inisiatif itu baik, namun pelaksanaannya didapati lemah.

Pentadbiran UM harus memastikan semua kafeteria mematuhi pengumuman kerajaan.

“Saya tidak berpuas hati dengan pelaksanaannya dan kita sudah sampaikan kepada pihak pentadbiran universiti.

“Sesetengah kafe tidak mengikuti program itu dan ada yang masih menjual set makan tengah hari pada harga RM7 hingga RM8 bagi menu yang hampir sama dengan apa yang kerajaan sediakan sekarang,” tambahnya.

Pelajar yang ditemu bual berkongsi pandangan bahawa inisiatif itu adalah jangka pendek, malah mungkin tidak berlaku jika bantahan pelajar terhadap kenaikan kos sara hidup tidak diadakan lebih awal.

Bulan lalu, kesatuan pelajar UM dan UIAM bersuara menentang langkah Putrajaya membatalkan subsidi dan harga maksimum untuk barangan seperti ayam dan minyak masak botol 2kg dan ke atas, sebelum ia membalikkan keputusan itu dengan hanya menaikkan harga siling ayam dan bukannya membiarkan harga terapung.

Dua demonstrasi jalanan diadakan pada bulan ini, pada 2 dan 23 Julai, melibatkan pelajar bersatu di bawah gerakan #Turun untuk menyeru lebih banyak tindakan terhadap kenaikan kos sara hidup.

Lima tuntutan mereka kepada kerajaan ialah: pemotongan gaji menteri, penerusan subsidi, penambahbaikan pakej bantuan kepada rakyat, mengawal harga barang, dan menangani isu keselamatan makanan.

Polis mengenal pasti 30 penunjuk perasaan, dan mereka dipanggil secara berkumpulan untuk diambil keterangan. – 27 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen