Pasukan peguam baharu dilantik selepas permohonan peguam diraja ditolak, kata Najib


Raevathi Supramaniam

Minggu lalu, mahkamah menolak permohonan Najib Razak untuk melantik peguam diraja Jonathan Laidlaw mewakilinya pada rayuan terakhir kes SRC International. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2022.

KEPUTUSAN bekas perdana menteri Najib Razak melantik pasukan undang-undang baharu bagi mewakilinya pada rayuan terakhir kes SRC International Sdn Bhd dibuat selepas permohonannya untuk mendapatkan peguam diraja ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam satu kenyataan, wakil Najib berkata beliau membuat keputusan untuk melantik Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan, TH Liew & Partners sebagai peguam cara selepas berunding dengan peguam di Singapura dan India.

“Pertukaran peguam dibuat selepas Peguam Diraja Jonathan Laidlow tidak diterima hadir untuk Datuk Seri Najib dan selepas beliau berunding dengan peguam di Singapura dan Peguam Kanan India mengenai perkara itu,” kata kenyataan itu.

“Datuk Seri Najib menyatakan keyakinan yang pasukan baharu dilantik akan membawa perspektif berbeza kepada pertahanannya.

“Tuduhan percanggahan kepentingan adalah serius bagi hakim dan pihak litigan. Permohonan itu difailkan di mahkamah.

“Datuk Seri Najib tidak mahu mengulas mengenai isu itu kerana perkara itu kini belum selesai di Mahkamah Persekutuan.”

Minggu lalu, mahkamah menolak permohonan Najib untuk melantik Jonathan Laidlaw mewakilinya pada rayuan terakhir.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan Laidlaw tidak memenuhi syarat untuk kemasukan ad-hoc di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.

Kamal menambah Laidlaw tidak memiliki kelayakan dan pengalaman khas yang tidak ada dalam kalangan peguam tempatan.

Muhammad Shafee Abdullah dan firmanya akan terus mewakili Najib dalam semua perbicaraannya yang lain, kata kenyataan itu.

“Najib ingin menyatakan sokongan dan penghargaannya kepada seluruh pasukan undang-undangnya atas komitmen dan usaha berterusan mereka dalam memastikan beliau diberi perbicaraan yang adil.

“Beliau juga ingin menyatakan tidak adil bagi media untuk membuat kesimpulan atau melaporkan yang Shafee dan rakannya ‘dipecat’ atau ‘dibuang’.

“Beliau dan ramai yang lain yakin bahawa sistem perundangan Malaysia dan proses perundangan akan membuktikan beliau tidak bersalah dan memberikan keadilan yang patut diterima oleh semua rakyat Malaysia dalam undang-undang.”

Dilaporkan hari ini Najib melepaskan peguam utamanya Shafee dan melantik firma bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim untuk mewakilinya dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Dalam surat kepada timbalan pendaftar mahkamah persekutuan hari ini, Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners juga memohon pengurusan kes segera bagi mendapatkan penangguhan perbicaraan SRC International Sdn Bhd, yang dijadualkan bermula pada 15 Ogos. – 26 Julai, 2022.          

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen