Tentera Syria masuki kawasan dikawal Kurdish di Aleppo


Badan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata tentera Syria mewujudkan pusat pemeriksaan serta mengibarkan bendera Syria di Sheikh Maksud, Bustan al-Basha, Enzarat, Halak, Sakan al-Shababi, Haydarieh, Shqaif dan Bani Zaid. – Gambar fail EPA, 22 Februari, 2018.

TENTERA Syria memasuki kawasan kejiranan yang dikawal oleh Kurdish di bahagian utara bandar Aleppo pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kumpulan pemantau yang berpangkalan di Britian.

Badan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata tentera kerajaan mewujudkan pusat pemeriksaan serta mengibarkan bendera Syria di Sheikh Maksud, Bustan al-Basha, Enzarat, Halak, Sakan al-Shababi, Haydarieh, Shqaif dan Bani Zaid.

Perkembangan baharu itu adalah berikutan tindakan kerajaan Syria menghantar pejuang pro-kerajaan bagi membantu pejuang Kurdish mempertahan enklaf Afrin di utara Aleppo daripada kempen ketenteraan pimpinan Turki.

Tiada butiran lanjut diberikan namun kemasukan tentera Syria ke kawasan kejiranan yang dikawal Kurdish di Aleppo seolah-olah sebahagian daripada perjanjian antara pejuang Kurdish dan tentera Syria.

Tentera Syria menewaskan pemberontak di bandar Aleppo pada Disember 2016.  Pejuang Kurdish turut membebaskan beberapa kejiranan di bandar itu dan sejak itu mengawal kesemua kawasan terbabit. – Bernama, 22 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen