Jenayah meningkat selepas usul Sosma ditolak, kata Hamzah


Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata jenayah keganasan memerlukan kerja penyiasatan yang lebih mendalam dan terperinci. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2022.

KEJADIAN jenayah meningkat selepas Parlimen mengundi untuk tidak meluluskan usul pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Mac lalu, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Usul tersebut bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5), yang akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah Sosma sehingga 28 hari.

“Sebagai contoh, kejadian tembakan di Sungai Petani, di mana si mati adalah orang yang dikehendaki oleh polis kerana disyaki terlibat dalam jenayah terancang dan juga dadah.

“Selain itu seorang lelaki yang juga merupakan saksi kes bunuh telah ditetak sampai mati di Klang. Ini adalah sebahagian daripada contoh-contoh kes yang mana penjenayah di luar sana masih bebas dan tanpa rasa gentar terus melakukan jenayah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu bagaimanapun tidak memberikan statistik kes jenayah yang berlaku selepas usul pindaan Sosma ditolak pada 23 Mac. 

Beliau juga tidak menjelaskan bagaimana tempoh penahanan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan akan mengekang kes jenayah memandangkan undang-undang itu masih berkuat kuasa hingga 31 Julai.

Katanya, pelanjutan itu akan memberikan pihak cukup masa untuk polis melengkapkan siasatan dalam usaha menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

“Keganasan memerlukan kerja-kerja penyiasatan yang lebih mendalam dan terperinci, sekali gus menjadi lebih rumit berikutan golongan ini mempunyai rangkaian luar negara serta ideologi tersendiri.

“Tempoh 28 hari ini sangat penting kerana polis memerlukan masa terutamanya bagi meyakinkan saksi untuk memberikan pernyataan kerana ia membabitkan keselamatan saksi dan ahli keluarga,” katanya. 

Hamzah seterusnya berkata di bawah Sosma seseorang individu tidak boleh ditangkap semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politik.

“Namun ini tidak bermakna ahli politik kebal daripada siasatan di bawah Sosma.”

Kementerian Dalam Negeri hari ini membentangkan semula usul pelanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma untuk tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Pada 23 Mac lalu, usul tersebut gagal dalam undi belah bahagi, dengan 84 ahli Parlimen bersetuju, manakala 86 tidak. Seramai 50 lagi ahli Parlimen tidak hadir. – 26 Julai, 2022.     

 

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen