Pemangku Raja Pahang arah polis henti siasat aktivis


Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah mengarahkan polis menghentikan siasatan ke atas seorang aktivis alam sekitar yang didakwa menghina Pemangku Raja Pahang itu. – Gambar Facebook, 26 Julai, 2022.

PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah mengarahkan polis untuk menghentikan siasatan ke atas seorang aktivis alam sekitar yang didakwa menghinanya di Twitter.

Malah Tengku Hassanal secara terbuka memohon maaf kepada Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang Noor Jehan Abu Bakar kerana lewat hadir ke satu majlis minggu lepas.

Polis diarahkan supaya tidak memperbesarkan isu tersebut.

“Saya baru mendapat dapat tahu mengenai perkara ini, saya sudah minta pihak polis untuk tidak ganggu beliau, tolong jangan buat drama,” kata Tengku Hassanal katanya menerusi InstaStory di akaun Instagram miliknya.

Pemangku Raja PAhang itu turut mrnyiarkan artikel berita mengenai Noor Jehan dipanggil untuk beri keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang semalam.

Tengku Hasanal seterusnya berkata,“Saya dengan ikhlas mohon maaf. Saya tidak sihat pagi itu dan perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk keselamatan semua.”

Noor Jehan dipanggil untuk memberi keterangan semalam selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya berhubung catatan beliau di Twitter  pada 18 Julai lalu.

Dalam catatan yang telah dipadam itu, Noor Jehan mendakwa Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan beberapa VIP lewat dua jam hadir ke acara penanaman pokok di Pantai Chenor, Kemaman, Terengganu.

Noor Jehan dilapor media berkata beliau tidak berniat untuk memfitnah sesiapa, dan pelik mengapa disiasat kerana catatannya itu hanya boleh dibaca pengikutnya di Twitter.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohamad Zahari Wan Busu dilaporkan berkata pihaknya menerima dua laporan polis terhadap Noor Jehan.

Beliau juga mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komuniti dan Multimedia 1998. – 26 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen