PDRM mahu ekstradisi pengasas MBI Group dari Thailand


Alfian Z.M. Tahir

Teow Wooi Huat dikehendaki dan sedang disiasat oleh PDRM mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2022.

POLIS sedang berusaha mengekstradisi ahli perniagaan Malaysia yang menjadi buruan Teow Wooi Huat berikutan penahanannya di Thailand baru-baru ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan berkata Teow adalah individu dikehendaki dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Suspek Teow Wooi Huat yang berada dalam tahanan polis Thailand dikehendaki mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis Malaysia sedang dalam proses membawa pulang Teow untuk membantu siasatan,” kata Noorsiah.

Pada Sabtu, Penguasa Polis Sadao Pol Kol Bunthaeng Laocharoen memberitahu Bernama yang Teow, 55, pengasas MBI Group International, diserahkan kepada polis Imigresen di Songkhla dan kemudian dipindahkan ke Pejabat Imigresen Suan Plu di Bangkok.

Bunthaeng menafikan laporan media yang Teow ditangkap di wilayah selatan Songkhla atas tuduhan susulam pengubahan wang haram berkaitan usaha perjudian dalam talian di Danok, Sadao.

“Teow berada dalam senarai merah Interpol dan beliau dipanggil untuk dimaklumkan yang visanya telah dibatalkan. Beliau tidak akan didakwa di Thailand,” katanya.

Media melaporkan Teow, yang digelar Jho Low 2, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan buruan Malaysia, Low Taek Jho, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, melarikan diri ke Dannok di Sadao pada 2020.

Bangkok Post melaporkan Teow pengasas MBI Group, yang mengendalikan kompleks hiburan termasuk resort di bandar sempadan Thailand-Malaysia, Danok.

Teow membina empayar perniagaan daripada skim pelaburan yang menarik pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.

Pada 2017, Teow pada mulanya ditangkap oleh Biro  Kawalan Narkotik Thailand atas tuduhan dadah, namun berjaya melarikan diri dari Songkhla dan terlepas hukuman mati.

Pada 2019, pihak berkuasa Malaysia membekukan 91 akaun bank dengan RM177 juta dikaitkan dengan MBI Group International.

Bank Negara memantau syarikat itu kerana didakwa menjalankan skim kewangan meragukan. – 25 Julai, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen