Junta Myanmar laksana hukuman mati terhadap bekas ahli Parlimen, aktivis


Pakar PBB berkata, hukuman mati junta Myanmar sedang berlaku bersama-sama pembunuhan di luar undang-undang orang awam di negara itu. – Gambar AFP, 25 Julai, 2022.

PIHAK berkuasa tentera Myanmar melaksanakan hukuman mati terhadap bekas ahli Parlimen Liga Demokratik Kebangsaan Ko Phyo Zeya Thaw dan aktivis demokrasi Ko Jimmy, lapor agensi berita Sputnik, memetik portal Irrawaddy pada Isnin berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh pentadbiran tentera.

Pada Jumaat, kedua-dua aktivis pembangkang serta dua lagi individu yang dijatuhkan hukuman mati awal tahun ini dibenarkan bertemu dengan keluarga masing-masing melalui sidang video dengan pihak berkuasa menafikan hukuman mati itu akan dilaksanakan serta-merta.

Ko Phyo Zeya Thaw dan Ko Jimmy dijatuhkan hukuman mati pada Januari lalu atas tuduhan mendalangi dan menyertai gerakan subversif bersenjata dan aktiviti berkaitan di bawah undang-undang cegah keganasan, lapor Irrawaddy, sambil menambah hukuman itu dilaksanakan pada hujung minggu di penjara Insein di Yangon.

Ko Jimmy, 53, adalah seorang penulis dan aktivis yang pernah meringkuk dalam penjara selama 20 dekad di bawah pentadbiran tentera terdahulu atas tuduhan berkaitan aktiviti antikerajaan dan selepas tentera Myanmar merampas kuasa pada Februari 2021, beliau ditangkap kerana menghantar mesej di media sosial, menyeru penentangan terhadap pihak berkuasa tentera.

Sementara Ko Phyo Zeya Thaw, bekas ahli Parlimen Myanmar berusia 41 tahun yang mewakili parti Liga Demokratik Kebangsaan yang memerintah dari 2012 hingga 2021, didakwa atas keganasan dan menubuhkan kumpulan antikerajaan bersenjata haram.

Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar, Tom Andrews mengecam pelaksanaan hukuman mati itu dan menggesa masyarakat antarabangsa memastikan tindakan segera dan tegas terhadap keadaan hak asasi manusia yang semakin merosot di negara itu.

“Perbuatan keji itu mesti menjadi titik perubahan buat masyarakat antarabangsa,” ciap Andrews di Twitter.

“Pembunuhan penunjuk perasaan yang berleluasa dan sistematik, serangan sembarangan terhadap seluruh kampung dan kini hukuman mati terhadap pemimpin pembangkang, menuntut tindakan segera dan tegas oleh negara anggota PBB. Status quo tanpa tindakan antarabangsa mesti ditolak dengan tegas.” – Bernama, 25 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen