Isu sensasi, remeh alih perhatian rakyat daripada skandal 1MDB


BELIAU satu-satunya pemimpin PAS yang nampaknya tidak rela melupakan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau isu lain yang mempengaruhi Malaysia.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mengungkapkannya secara ringkas apabila berkata isu remeh dan sensasi termasuk tangkapan berprofil tinggi dan insiden “tampar” digunakan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada pelbagai isu seperti skandal hutang 1MDB dan kenaikan kos sara hidup.

“Dengan teknik ini, Barisan Nasional (BN) berharap rakyat dapat melupakan isu seperti 1MDB dan kenaikan kos sara hidup dan memberi tumpuan kepada program-program seperti TN50, drama-drama politik yang tidak henti seperti insiden tampar dan juga tangkapan-tangkapan berprofil tinggi para penjawat awam,” tulis beliau di lidah rasmi PAS, Harakah.

“BN akan mencuba apa sahaja, tapi realitinya, perubahan politik ini tidak dapat dielakkan lagi, hanya masa sahaja belum diketahui,” kata Tuan Ibrahim.

Pandangan beliau berbeza dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) dan sebaliknya dilihat lebih dekat dengan Umno dan Perdana Menteri Najib Razak mengenai beberapa isu termasuk undang-undang Syariah Islam yang lebih ketat dan Rohingya.

Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan sebarang pakatan tetapi berkata akan bekerjasama dalam isu melibatkan umat Islam.

Namun, Tuan Ibrahim berkata masalah negara memerlukan anjakan atau perubahan politik yang serius, sambil menambah kegawatan ekonomi berpunca daripada kegagalan kerajaan menguruskan khazanah negara dan penyelewengannya kini terbongkar.

Beliau menegaskan salah guna kuasa dalam kerajaan kini didedahkan pihak Umno dan Kabinet yang secara terbuka mengkritik perdana menteri.

“Kritikan-kritikan bekas pimpinan tertinggi BN seperti Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Shafie Afdal, Ling Liong Sik di dalam isu 1MDB sehingga ada yang keluar dan dipecat dari parti sehingga wujudnya parti-parti baru adalah perkembangan politik yang semakin mendebarkan,” kata Tuan Ibrahim.

Timbalan presiden PAS berkata terdapat gesaan hebat terhadap perdana menteri berundur daripada jawatannya.

“Keadaan ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. BN dijangka tidak lagi mampu bertahan,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata peningkatan kesedaran di kalangan belia dan gesaan terhadap perubahan semakin kuat tetapi persoalannya adalah jenis perubahan diperlukan.

“Apakah kita hanya menukarkan kepimpinan negara bersama sistem sekular atau megubah tapak dan sistem negara ini secara total?” soalnya dan berkata PAS perlu membawa rakyat kembali kepada sistem Islam.

“Tanpa kembali kepada Islam yang sebenar, yakni kita hanya akan melakukan perubahan yang separuh masak. Kita sekadar akan merubah dari satu kegagalan sistem ciptaan manusia kepada satu lagi sistem ciptaan manusia yang lain yang juga akan berhadapan dengan pelbagai kelemahan dan kepincangan,” katanya dalam kenyataan dari Mekah.

Tuan Ibrahim berkata Islam menentang pemikiran yang menutup mata dan telinga kepada perubahan.

“Di dalam Islam, manusia diseru untuk membuka mata dan telinga, mengkaji dengan ikhlas hati serta membuat rumusan sendiri terhadap apa yang diperolehinya,” katanya. – 29 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen