POLIS menahan seorang lelaki bersama 100 botol dadah disyaki jenis heroin bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Pasir Mas, Kelantan pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata suspek yang berumur 23 tahun dikesan dalam Ops Tapis Sempadan selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan pada jam 2.36 pagi di dalam kedai berkenaan.
Bercakap kepada pemberita di Kota Bharu, beliau berkata apabila diperiksa, polis menemukan satu beg plastik hitam di tangan kiri suspek mengandungi 100 botol lutsinar serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin yang setiap satunya bernilai sekitar RM2,000.
Sementara itu menurutnya, pada Khamis polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 2,000 biji pil Yaba di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah pada jam 5.06 pagi di Kampung Repek, Pasir Mas.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh turut positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau.
Muhamad Zaki berkata, Ops Tapis Sempadan yang dijalankan dari 21 hingga 23 Julai lalu di daerah bersempadan dengan Thailand, membawa kepada penahanan 34 orang atas pelbagai kesalahan selain merampas dadah bernilai RM230,165. – Bernama, 24 Julai, 2022.
Komen