Tuntut segera pasport elak dilupus, kata menteri


Menurut Hamzah Zainuddin bukan bidang kuasa Jabatan Imigresen untuk menghantar pasport itu kepada pemilik. – Gambar AFP, 24 Julai, 2022.

RAKYAT Malaysia yang telah memperbaharui pasport secara dalam talian perlu menuntut segera dokumen berkenaan bagi mengelak daripada dilupuskan dalam tempoh 90 hari, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata perkara itu juga selaras dengan peraturan yang telah termaktub di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia di mana apabila seseorang itu telah membuat pasport menjadi tanggungjawab individu berkenaan untuk menuntutnya.

“Bukan menjadi bidang kuasa kepada Jabatan Imigresen pula untuk hantar kepada mereka walaupun diakui mungkin terdapat masalah tertentu yang menyebabkan pasport berkenaan gagal dituntut,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Kita Demi Negara di Dewan Astaka Batu Kurau hari ini.

Beberapa media sebelum ini melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia memaklumkan terdapat 2,600 pasport yang telah diperbaharui secara dalam talian yang masih tidak dituntut setakat ini.

Mengulas mengenai program hari ini Hamzah berkata lebih 2,000 individu telah berdaftar sebagai Sahabat Kita Demi Negara yang berperanan sebagai mata dan telinga pihak kerajaan khususnya berkaitan isu melibatkan keselamatan negara. – Bernama, 24 Julai, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen