POLIS menahan lima lelaki disyaki terbabit dengan kegiatan memproses dan menjual air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.
Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, lima lelaki berusia 29 hingga 37 tahun ditahan bersama 200 bungkus air ketum yang siap diproses dan dua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat 10 kilogram.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan untuk memproses dan membungkus air ketum yang dipercayai dijual di sekitar kawasan Sungai Ara serta Bayan Lepas. Setiap bungkusan air ketum berharga RM5.
“Dalam serbuan itu, polis turut menemui beberapa batang pokok ketum yang ditanam berhampiran rumah itu dan pihak kami mengambil tindakan segera dengan menebangnya,” menurut kenyataan itu.
Katanya, lima lelaki yang bekerja sendiri kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Dalam kes berasingan, kenyataan itu memaklumkan polis menahan dua lelaki berusia 20 dan 50 tahun kerana disyaki sebagai “keldai akaun” untuk sindiket pinjaman tidak wujud dalam talian dan sindiket menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Katanya, dua lelaki itu di masing-masing ditahan di Bukit Mertajam dan Kedah pada Jumaat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Barat Daya hasil maklumat serta risikan dijalankan sejak minggu lalu.
“Siasatan awal mendapati mereka dijadikan “keldai akaun” membabitkan jumlah kerugian dialami mangsa antara RM10,650 hingga RM27,000. Ia membabitkan kes sejak 2019 hingga 2021,” katanya.
Dua lelaki itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu. – Bernama, 24 Julai, 2022.
Komen