Pengetahuan mesti ikut peredaran masa, kata Dr Mahathir 


Alfian Z.M. Tahir

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tumpuan juga mesti diberikan kepada pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2022.

SISTEM pendidikan Malaysia mesti bergerak seiring dengan masa untuk membina masa depan anak-anak kita, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu juga berkata penting untuk menanamkan sahsiah pelajar berdasarkan aplikasi ilmu bagi mengelak ia disalahgunakan.

“Sistem pendidikan sekarang jauh berbeza dengan zaman dahulu. Sekarang kita memerlukan pengetahuan tentang komunikasi dan teknologi di mana kita boleh berhubung dengan orang di seluruh dunia tanpa wayar.

“Justeru pendidikan kita mesti sesuai dengan iklim kita sekarang. Kita perlu bergerak mengikut masa dan jika masa bergerak, sistem pendidikan kita juga sesuai untuk masa depan anak-anak kita.

“Kita juga perlu memastikan perwatakan orang ramai sesuai untuk aplikasi ilmu itu kerana jika akhlak itu tidak diterapkan kepada pelajar, mereka mungkin menyalahgunakan ilmu yang diperolehi,” kata negarawan berusia 97 tahun itu.

Dr Mahathir berucap sebagai tetamu kehormat pada acara pendidikan anjuran PPTI Malaysia - sebuah institusi pendidikan swasta khusus dalam Matematik.

Beliau adalah menteri pendidikan dari 1974 hingga 1978 dan juga pemangku menteri pendidikan pada 2020 menggantikan Dr Maszlee Malik.

Bercakap lebih lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan bahawa tumpuan juga mesti diberikan kepada pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran, sambil menambah bahawa setiap kanak-kanak mesti dibenarkan pergi ke sekolah.

“Sekolah harus diwajibkan kepada semua. Anak-anak mesti diberi ilmu, mungkin ada yang cepat memahami dan ada yang lambat.

“Jika kita tidak sertakan mereka yang lambat sedikit dan memberi perhatian khusus kepada yang cerdik, mereka tidak akan mendapat faedah dan menikmatinya sebaik mungkin,” jelasnya. – 24 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen