PJD Link belum diluluskan, kata Amirudin 


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberi jaminan bahawa kerajaan negerinya akan menolak sebarang projek pembangunan lebuh raya yang tidak mendatangkan faedah kepada rakyat negeri itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Julai, 2022.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari memberi jaminan bahawa kerajaan negerinya akan menolak sebarang projek pembangunan lebuh raya akan datang sekiranya ia tidak mendatangkan faedah kepada rakyat Selangor.

Bercakap pada majlis Pakatan Harapan di Kota Damansara malam tadi, Amirudin menafikan Selangor telah bersetuju dengan pemaju untuk meneruskan cadangan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

“Apa yang dipersetujui antara kami dan syarikat (pemaju) ialah mereka akan datang semula kepada kami dengan membawa kajian kes. Kajian tentang reaksi penduduk di kawasan itu terhadap projek berkenaan dan sebaik kajian selesai mereka perlu beri taklimat kepada kami tentang kajian itu.”

“Itu adalah perjanjian kami, kami tidak bersetuju untuk membenarkan mereka meneruskan projek itu dan sehingga kini mereka tidak datang kepada kami untuk membentangkan apa yang mereka dapat daripada kajian itu.”

“Justeru, bukan kita yang beri lampu hijau kepada mereka, tetapi kerajaan persekutuan. Saya boleh jamin kita akan membantah mana-mana rancangan atau projek pembangunan yang tidak mendatangkan faedah atau penambahbaikan kepada kehidupan rakyat Selangor.”

“Tidak kira apa nama sama ada PJD Link, atau PJM Link atau apa sahaja,” tegas Amirudin.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Selangor didakwa mengingkari janjinya untuk membantah projek lebuh raya berkenaan.

Penduduk dalam kumpulan Gabungan Menentang PJD Link berkata mereka terkejut dengan kurangnya tindakan daripada kerajaan PH Selangor.

Ketua kumpulan itu, Sheikh Moqhtar Kadir berkata ahli politik PH yang sebelum ini berkata projek itu tidak akan diteruskan, tidak mengotakan janji mereka.

Sheikh Mokhtar berkata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran adalah antara yang sebelum ini memberi jaminan bahawa PJD Link tidak akan diteruskan jika pengundi menyokongnya.

“Malangnya, projek itu masih diteruskan, ia tidak dimansuhkan walaupun kami mahu ia dihapuskan.”

Sheikh Moqhtar berkata tiada keperluan untuk menambah satu lagi lebuh raya ke Petaling Jaya dan penduduk lebih memilih pengangkutan awam.

Lebuh raya bertingkat itu dikatakan projek Kidex sebelum ini yang dihidupkan semula, yang turut dibantah penduduk dan akhirnya dimansuhkan oleh PH.

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof sejak beberapa bulan lalu berkata projek PJD Link berada di landasan yang betul.

Lebuh raya yang dicadangkan itu merentasi Lebuhraya Persekutuan untuk menghubungkan kawasan Damansara ke Kinrara, dan ke kawasan di Puchong, Bukit Damansara dan Petaling Jaya.

Exco Selangor Izham Hashim ketika diminta mengulas kenyataan menteri kerja raya berkata perbincangan masih berjalan dan laporan masih belum diserahkan. – 24 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen