32 militan Taliban maut serangan udara Afghanistan


Pasukan keselamatan Afghanistan dan tentera gabungan yang diketuai Nato mempergiat operasi serta serangan udara memandangkan penduduk negara itu terpaksa berdepan serangan militan Taliban dan Islami State (IS) yang semakin meningkat. – Gambar fail EPA, 22 Februari, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 32 anggota kumpulan militan Taliban terbunuh selepas Angkatan Tentera Udara Afghanistan menyerang tempat persembunyian mereka di wilayah Farah pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Pertahanan.

“Antara yang terbunuh dalam serangan udara di daerah Bala Buluk dan Pusht Rod itu ialah dua komander bahagian Taliban bernama Mullah Khairullah dan Aman Kandahari,” kata kementerian itu menerusi akaun Twitter.

Seramai 17 anggota Taliban yang lain cedera dalam serangan itu.

Serangan udara itu turut memusnahkan dua kenderaan yang sarat dengan bahan letupan dan enam ves pengebom bunuh diri.

Wilayah Farah terletak kira-kira 695 kilometer di barat Kabul, ibu negara Afghanistan.

Pasukan keselamatan Afghanistan dan tentera gabungan yang diketuai Nato mempergiat operasi serta serangan udara memandangkan penduduk negara itu terpaksa berdepan serangan militan Taliban dan Islami State (IS) yang semakin meningkat.

Kumpulan militan Taliban melancarkan pemberontakan selama lebih 16 tahun. – Bernama, 22 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen