Pakatan berisiko hilang Negeri Sembilan, kata pemerhati politik


Alfian Z.M. Tahir

Anwar Ibrahim yakin dapat mengekalkan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada PRU15 akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) berisiko kehilangan Negeri Sembilan jika pilihan raya diadakan lebih awal ekoran sokongan semakin merosot meskipun Anwar Ibrahim yakin mampu mempertahankan semua negeri dipegangnya, kata pemerhati politik.

Pakatan memerintah Selangor dan Pulau Pinang yang dimenangi pada 2008 dan Negeri Sembilan dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 lalu.

Menurut pemerhati, sokongan kuat buat PH di Selangor dan Pulau Pinang tidak di Negeri Sembilan.

Pembangkang pertama kali menawan Selangor dan Pulau Pinang pada 2008 susulan tsunami politik yang menamatkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen selepas lebih 50 tahun berkuasa.

Baru-baru ini Anwar berkata ketiga-tiga negeri itu menunjukkan perkembangan yang luar biasa berbanding negeri lain namun beliau menegaskan bahawa masih banyak kerja perlu dilakukan untuk menghantar isyarat yang jelas kepada rakyat.

Katanya lagi PH boleh mengekalkan tiga negeri itu pada pilihan raya akan datang selain turut fokus untuk menawan negeri lain.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata demografi dan komposisi etnik di Negeri Sembilan hampir serupa dengan Melaka – negeri yang ditadbir BN selepas gabungan itu menewaskan PH pada pilihan raya kecil 2021.

“Jika kita guna templat yang sama dengan PRK di Melaka, Negeri Sembilan mempunyai demografi dan komposisi etnik yang sama. PH di Negeri Sembilan goyah tidak kukuh seperti di Selangor dan Pulau Pinang.

“Tambahan pembangkang sendiri tidak kukuh pada waktu ini dan melihat kepada keretakan dalaman yang berlaku, lagi membimbangkan. Lebih selamat kita kata PH boleh pertahankan Selangor dan Pulau Pinang tapi tidak Negeri Sembilan. Malah mungkin juga PH bakal hilang kerusi di Selangor,” katanya.

PH pernah berdepan kekalahan berturut-turut dalam Pilihan Raya Negeri di Johor, Melaka dan juga di Sarawak.

Pemerhati meletakkan kesalahan pada perpecahan dalaman pembangkang sebagai punca kekalahan yang turut diakui oleh beberapa tokoh pembangkang.

Beberapa pemimpin BN mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob agar segera mengadakan pilihan raya dengan menekankan bahawa sekarang adalah waktu yang tepat untuk BN menebus kembali kekalahan pada pilihan raya lalu.

Senada dengan Hisomuddin, James Chin dari Tasmania University berkata PH mempunyai peluang yang cerah untuk menang di Selangor dan Pulau Pinang.

“Setiap negeri peluangnya 50/50. Tapi untuk Selangor dan Pulau Pinang sepatutnya bukan masalah untuk PH.

“Mereka masih boleh menang dengan senario sekarang kerana mereka perintah negeri itu agak lama dan rakyat mereka kebanyakannya gembira,” katanya. 

Amanah sebenarnya boleh memenangi hati pengundi Melayu dengan mudah di negeri seperti Negeri Sembilan, kata pemerhati politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2022.

Amanah kelemahan PH

Pemerhati politik veteran Mohd Sayuti Omar  berkata kelemahan Amanah dalam gabungan PH mungkin menyumbang kepada kejatuhan Negeri Sembilan.

Amanah katanya masih belum berupaya menjadikan PH lebih kuat di negeri itu.

“Di sini kekuatan Amanah boleh dipersoalkan, terutamanya di Negeri Sembilan. Parti itu sudah tidak sekuat dulu selepas Langkah Sheraton. Dan selepas PH tumbang ia tak mampu menyaingi PKR dan DAP.

“Kita boleh lihat PKR dan DAP dapat tangani keretakan dalam parti tetapi Amanah tidak. Isu dalaman Amanah masih belum selesai,” katanya.

Sayuti juga berkata Amanah sebenarnya boleh memenangi hati pengundi Melayu dengan mudah di negeri seperti Negeri Sembilan.

“Sepatutnya mudah bagi Amanah sebagai parti Melayu Islam tawan hati pengundi di Negeri Sembilan.

“Kalau Umno dan PAS bekerjasama maka PH akan hilang Negeri Sembilan dan di Selangor Amanah juga akan hilang kerusi kepada Umno dan PAS” ujarnya.

Amanah mempunyai 11 ahli Parlimen – lima di Selangor, dua di Peak dan masing-masing satu di Kedah, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Parti itu mempunyai 12 Adun iaitu enam di Selangor, Perak (5), Kedah (4), Negeri Sembilan (3), Pulau Pinang (2) serta masing-masing satu di Johor dan Melaka. – 26 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen