Sawah padi terkemuka Eropah di Lembah Po, Itali musnah akibat kemarau


Wilayah penanaman padi terkemuka di Eropah yang membekalkan beras utama kepada negara itu dan dunia terjejas teruk akibat kemarau terburuk di Itali dalam tempoh 70 tahun. – Gambar EPA, 23 Julai, 2022.

DERUAN enjin motosikal milik Dario Vicini memecah kesunyian ketika beliau menunggang melintasi sawah padinya bagi meninjau kemusnahan akibat kemarau terburuk di Itali dalam tempoh 70 tahun.

Sawah padinya kelihatan sunyi sepi, dengan pokok padi perlahan-lahan mati di tanah berpasir.

“Dalam keadaan biasa, saya tidak akan pernah dapat menunggang motosikal di atas sawah,” jelas Vicini kepada AFP.

“Pada waktu ini, pokok-pokoknya selalunya tumbuh setinggi lutut dan sawah akan ditenggelami air,” katanya.

“Di sini, mereka kecil, kerana air yang diperlukan untuk mengairi sawah tiada.”

Sawah “Stella” Vicini, terletak di perkampungan Zeme di Lembah Po, 70 kilometer barat daya Milan. Ia adalah sebahagian daripada “segi tiga emas” sawah padi Itali.

Wilayah penanaman padi terkemuka di Eropah – yang membekalkan beras terkenal, arborio for risotto dan pelbagai jenis lain kepada negara itu dan dunia – terletak ke barat Pavia di Lombardy ke Vercelli dan Novara di Piedmont.

Vicini berkata, hujan terakhir di kawasan itu turun pada Disember.

“Ia adalah kesan perubahan iklim,” kata petani berusia 58 tahun itu, yang menganggarkan pendapatannya merosot sebanyak 80 hingga 90 peratus.

Enrico Sedino, seorang lagi petani di kawasan itu, turut melahirkan kebimbangan.

“Jika tiada air, saya boleh kehilangan sehingga 100% daripada perolehan saya,” katanya.

Di sekeliling sawah, kelihatan retakan di tanah yang kontang dan pucuk padi mati dan terbantut ditutup dengan lapisan habuk yang nipis. – AFP, 23 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen