11 hilang, 14 cedera tanah runtuh di Jawa Tengah


Insiden tanah runtuh berlaku di Kampung Pasir Panjang yang menimbus 25 petani di lereng teres sawah. – Gambar fail EPA, 22 Februari, 2018.

SATU insiden tanah runtuh yang melanda daerah Brebes di wilayah Jawa Timur pada Khamis menyebabkan 11 petani hilang manakala 14 lagi cedera, lapor agensi berita China Xinhua.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Alam, Sutopo Purwo Nugroho, berkata insiden itu berlaku di Kampung Pasir Panjang ketika petani terbabit mengerjakan sawah mereka yang terletak di sebuah bukit.

‘’Tanah runtuh itu menimbus 25 petani di lereng teres sawah. Sebelas petani masih tertimbus manakala 14 lagi berjaya diselamatkan namun mengalami beberapa kecederaan,” kata Sutopo kepada Xinhua dalam satu mesej teks.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke sebuah klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan.

Satu operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang sedang dijalankan, membabitkan anggota tentera dan sukarelawan. – Bernama, 22 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen