3 pekerja cedera kilang terbakar


TIGA pekerja sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kerteh di Kemaman cedera selepas aras tiga bangunan tempat mereka bekerja terbakar dalam kejadian pukul 11.20 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Negeri Terengganu Penguasa Kanan Bomba II Muhamad Basri Kamarazaman berkata pihaknya menerima panggilan telefon pada 11.25 pagi, susulan itu 61 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh, BBP Kijal dan BBP Paka dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 12.26 tengah hari dan ketiga-tiga pekerja itu juga telah mendapatkan rawatan kecemasan awal di Hospital Dungun,” katanya kepada pemberita di Kawasan Perindustrian Kerteh hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian, tiga pekerja kilang Cj Bio Malaysia Sdn Bhd tersebut sedang membuat kerja-kerja penyelenggaraan dan kebakaran itu menyebabkan seorang pekerja tempatan yang berusia 31 tahun melecur dan cedera di bahagian kepala.

Seorang pekerja warga Myanmar pula bertindak nekad terjun dari aras tiga bangunan itu menyebabkannya patah di bahagian tangan dan cedera di bahagian kepala manakala seorang lagi pekerja Myanmar hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke aras lain dan tindakan pantas itu menyebabkan hanya 30 peratus sahaja aras tiga bangunan terbakar dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan. – Bernama, 21 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen